Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

E-dompet bagi terima bayaran daripada pemerintah secara lebih selamat, mudah

Mar 3, 2022 | 5:30 AM
CIK JOSEPHINE TEO: Beliau berucap di perbahasan Belanjawan PMO semalam.
CIK JOSEPHINE TEO: Beliau berucap di perbahasan Belanjawan PMO semalam. -

RAKYAT Singapura tidak lama lagi dapat menerima bayaran daripada pemerintah secara lebih selamat dan mudah menerusi wadah dompet elektronik, atau e-dompet, yang akan diperkenalkan pemerintah.

Dikenali sebagai GovWallet, ia boleh digabungkan ke dalam aplikasi yang dibangunkan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) seperti LifeSG, yang memberi pengguna akses ke perkhidmatan pemerintah yang berbeza.

GovWallet membolehkan bayaran daripada pemerintah digunakan bagi membuat pembayaran di 164,000 peniaga berdaftar dengan hanya mengimbas kod SGQR menggunakan PayNow.

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, mendedahkan perincian alat ini di Parlimen semasa perbahasan Belanjawan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.

Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), yang termasuk Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) serta GovTech, berada di bawah naungan PMO.

GovWallet juga sedang dibangunkan oleh GovTech untuk membantu agensi pemerintah mengeluarkan pembayaran kepada rakyat Singapura yang tidak mempunyai akaun bank.

Ia boleh disepadukan dengan ATM untuk memudahkan pengeluaran wang.

Menurut GovTech lagi, wadah ini boleh membantu meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara dengan mendigitalkan proses mengumpul baucar fizikal atau menebus kredit daripada skim pemerintah.

"Perkara yang sebelum ini memerlukan beberapa langkah malah memerlukan lawatan ke titik sentuh perkhidmatan (service touchpoint) kini boleh dilakukan bila-bila masa, di mana-mana sahaja," kata GovTech.

Selain LifeSG, GovTech berkata GovWallet boleh disepadukan dengan aplikasi mudah alih pemerintah sedia ada, seperti SingPass, dan Healthy 365.

Pusat Perkhidmatan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) turut memanfaatkan wadah GovWallet ini untuk mentadbir skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) melalui penciptaan khidmat GovCash, yang diumumkan pada 21 Februari.

Ia dilancarkan secara progresif mulai November tahun lalu.

Menurut GovTech, khidmat ini menggantikan pemberian cek kepada lebih 6,200 penerima skim itu, sambil menambah bahawa mereka yang tiada akaun bank boleh mengeluarkan bayaran mereka dari ATM yang disepadukan dengan GovWallet, atau membelanjakan bayaran mereka melalui aplikasi LifeSG.

Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkata sejak November lalu Kementerian Pertahanan menggunakan GovWallet bagi mengagih faedah pengiktirafan tunai kepada 35,000 anggota Perkhidmatan Negara (NS) melalui aplikasi LifeSG.

Beliau juga mengumumkan aplikasi SingPass akan mempunyai lebih banyak kad pengenalan (IC) digital selaras dengan usaha pemerintah memperkenal lebih banyak inisiatif digital.

Ini termasuk lesen memandu digital yang akan dilancarkan Isnin ini, manakala sijil amalan digital bagi profesional penjagaan kesihatan diperkenal Januari lalu.

Selain itu, aplikasi SingPass kini tersedia dalam keempat-empat bahasa rasmi Singapura selepas pengemaskinian minggu lalu.

Dan mulai akhir bulan ini, pengguna perniagaan boleh mengakses profil syarikat mereka dan maklumat berkaitan melalui aplikasi ini.

Sejauh ini, 3.5 juta penduduk menggunakan aplikasi SingPass bagi mendapatkan akses ke lebih 2,000 perkhidmatan digital dan fizikal.

INISIATIF DIGITAL BARU

APLIKASI SINGPASS

Lebih banyak kad pengenalan digital, contohnya:

- Lesen Memandu Digital, yang akan disediakan mulai 7 Mac 2022, dan Sijil Amalan Digital untuk profesional penjagaan kesihatan, yang telah disediakan sejak Januari 2022.

- Aplikasi SingPass disediakan dalam empat bahasa rasmi sejak Februari 2022.

- Pengguna perniagaan boleh mengakses profil syarikat mereka dan maklumat berkaitan melalui aplikasi ini mulai akhir Mac 2022.

GOVWALLET

- Wadah ini membolehkan agensi mengagihkan bayaran pemerintah kepada rakyat dengan cara lebih selamat dan mudah.

- Ia boleh digabungkan ke dalam aplikasi seperti LifeSG atau disepadukan dengan ATM untuk memudahkan pengeluaran bayaran pemerintah, terutama bagi warga rakyat Singapura yang tidak mempunyai akaun bank.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg