Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: Semua sekolah arus perdana anjur kegiatan sukan kurang upaya jelang 2028

Nov 20, 2024 | 8:30 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong. - Foto ZAOBAO

Pelajar sekolah arus perdana akan mendapat pendedahan lebih luas kepada sukan kurang upaya, dan juga peluang melaluinya menjelang 2028.

Ini bagi menggalak pemahaman dan membina kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi golongan kurang upaya semasa bersukan.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata inisiatif tersebut adalah antara 10 langkah strategik di bawah Pelan Induk Sukan Kurang Upaya (DSMP) 2024, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang sukan kurang upaya dan kegiatan sukan inklusif.

“Kami sedar bahawa sukan berperanan sebagai pemangkin kuasa bagi inklusiviti, wujudkan impak yang berkekalan dan bermakna bukan sahaja pada peringkat individu, tetapi juga pada peringkat masyarakat.

“Justeru, kami ingin memanfaatkan kuasa transformasi sukan untuk membina Singapura yang lebih inklusif,” kongsi beliau di majlis Anugerah Sukan Orang Kurang Upaya Singapura yang diadakan di Hotel Singapore Marriott Tang Plaza pada 20 November.

Menjelang 2028, kesemua sekolah arus perdana akan jalankan sekurang-kurangnya satu program berkaitan dengan sukan kurang upaya melalui aktiviti seperti kegiatan kokurikulum (CCA), Program Pendidikan Sukan (SEP), dan pengalaman Values in Action.

Menurut Encik Tong, usaha menyelaraskan DSMP 2024 ini adalah satu langkah dalam menunjukkan komitmen pemerintah untuk terus melabur dalam peningkatan ekosistem sukan kurang upaya mulai DSMP 2016.

DSMP 2024 akan melibatkan penubuhan Hab Masyarakat Sukan Para (PSCH) untuk meluaskan peluang sukan bagi individu kurang upaya, dengan lima lokasi perintis merata Singapura menjelang akhir 2024 dan lebih lagi menjelang 2030.

Lima PSCH sedemikian akan ditempatkan di pusat sukan ActiveSG untuk memudahkan akses dan kemudahan, dan antara lima lokasi ini adalah di Pusat Sukan Pasir Ris (boccia), Pusat Sukan Jurong West (renang dan berbasikal para) dan Pusat Sukan Delta (goalball).

Menurut satu kenyataan media Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), PSCH ini akan menjadi pusat tumpuan untuk melibatkan peminat sukan serta individu baharu dalam sukan kurang upaya.

Dalam pada itu, sebuah Pasukan Tugas Sukan Inklusif (ESTF) telah ditubuhkan pada Mei 2023 untuk memperbaharui DSMP 2024 ini, yang antaranya terdiri daripada wakil daripada Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan SG Enable.

Ini di sebalik kemajuan yang telah dicapai DSMP 2016, di mana kadar penyertaan sukan dalam kalangan individu kurang upaya telah meningkat daripada 28 peratus pada 2015 kepada 46 peratus pada 2023, kata MCCY.

Dalam satu kenyataan media MCCY pada 20 November, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, yang juga pengerusi ESTF berkata:

“Melalui sesi perbincangan bersama pelbagai pihak yang berkepentingan, saya gembira mendengar banyak idea berguna yang boleh mengukuhkan lagi ekosistem sukan kita untuk orang kurang upaya.”

“Langkah-langkah strategik yang digariskan dalam DSMP 2024 merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam mencapai visi bersama kami di mana orang kurang upaya terlibat, diperkayakan, dan diperkasakan melalui sukan.”

Dalam majlis itu juga, sebanyak 17 anugerah disampaikan kepada individu, kumpulan serta pertubuhan yang membuat sumbangan luar biasa kepada sukan kurang upaya, kata Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) dalam satu media kenyataan pada 20 November. 

Antara penerima anugerah tersebut adalah bekas pelari pecut nasional, yang kini jurulatih para-atletik, Muhamad Hosni Muhamad, yang memenangi anugerah Jurulatih Terbaik (Pembangunan).

Langkah Strategik di bawah Pelan Induk Sukan Kurang Upaya 2024

Tingkat akses kepada sukan untuk orang kurang upaya

- Meningkatkan penyertaan sukan kurang upaya dari 3,200 ke 5,400 menjelang 2030

- Meluaskan peluang sukan di sekolah dan masyarakat

- Mempertingkatkan akses kemudahan ActiveSG untuk individu kurang upaya

Tingkat kesedaran tentang sukan untuk orang kurang upaya dan aktiviti inklusif

- Menyediakan program sukan kurang upaya di semua sekolah arus perdana menjelang 2028

- Meningkatkan penyertaan Play Inclusive dari 1,200 kepada 3,000 peserta menjelang 2030

- Memperluas cerita individu kurang upaya dalam sukan melalui pelbagai saluran

Penuhi aspirasi orang kurang upaya dalam sukan

- Menubuhkan Pusat Latihan Nasional (NTC) untuk sukan para

- Menubuhkan Hab Masyarakat Sukan Para (PSCHs) untuk peluang sukan dan prestasi tinggi

- Meningkatkan kemahiran jurulatih dan kakitangan sokongan sukan kurang upaya

Biaya inisiatif sukan untuk orang kurang upaya

- Melancarkan Dana Sukan Pemerkasaan dengan sasaran $10 juta menjelang 2030

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg