Topik diikuti
Pergi ke BHkuEdwin Tong: S’pura perlu kekal waspada bahaya dadah
S’pura perlu terus perkukuh langkah pencegahan, campur tangan awal, serta mesej antidadah yang jelas, konsisten
Edwin Tong: S’pura perlu kekal waspada bahaya dadah
Singapura mesti kekal berwaspada dan berpendirian teguh dalam memperkukuh usaha pencegahan serta campur tangan awal, di samping mengekalkan mesej antidadah yang jelas dan konsisten.
Langkah ini penting bagi melindungi golongan muda dan memelihara kemajuan yang telah dicapai dalam membanteras dadah, memandangkan pengaruh boleh tersebar dengan pantas menerusi media sosial dan kandungan dalam talian, terutamanya dalam kalangan belia, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.
Sedang Singapura kekal teguh dalam usaha menentang dadah, ia juga mesti terus menyokong mereka yang telah terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah dan bertekad untuk mengubah hidup mereka, tambah beliau.
“Dadah semakin mudah diperoleh apabila pengedar mencari pelbagai cara baharu untuk mendekati individu yang berpotensi menyalahgunakannya.
“Pada masa yang sama, sikap yang lebih bertoleransi terhadap dadah di bahagian lain dunia berisiko menormalisasikan penggunaan dadah serta mengurangkan kesedaran tentang bahayanya.
“Pengaruh sedemikian boleh tersebar dengan pantas menerusi media sosial dan kandungan dalam talian, terutamanya dalam kalangan belia.
“Oleh itu, kita mesti kekal berwaspada dan berpendirian teguh dalam usaha kita – memperkukuh langkah pencegahan dan campur tangan awal, serta mengekalkan mesej antidadah yang jelas dan konsisten,” kata Encik Tong.
Encik Tong berkata demikian di majlis makan malam amal Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) 2026 yang berlangsung di Hotel Conrad Singapore Orchard, pada 16 Oktober.
Lebih $250,000 telah diraih daripada majlis makan amal tersebut, kongsi Sana. Dana tersebut akan digunakan untuk menyokong program pendidikan pencegahan dadah dan program penjagaan susulan, kaunseling dan pemulihan, selain meningkatkan keupayaan pekerja sosial dan kaunselor Sana.
Ini termasuk menyokong kumpulan sokongan penjagaan berterusan, yang menggalakkan individu untuk menjauhi dadah, dan Program Sukan.Seni.Muzik, yang menyediakan platform bagi individu dalam pemulihan dan keluarga mereka untuk mengeratkan hubungan serta membina kemahiran.
Meskipun Singapura telah mengambil pendekatan yang tegas dan menyeluruh dalam menangani isu dadah, situasi dadah kekal sebagai isu yang mendatangkan kebimbangan yang serius, kata Encik Tong.
Berkongsi beberapa statistik, beliau menjelaskan pada 2025, Biro Narkotik Pusat (CNB) telah menahan lebih daripada 3,200 penyalah guna dadah, dengan 28 peratus daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.
Dalam kalangan penyalah guna dadah baharu yang ditangkap pula, separuh daripadanya berumur di bawah 30 tahun.
Apa yang paling membimbangkan, menurut Encik Tong, ialah individu termuda yang ditangkap atas penyalahgunaan dadah hanya berusia 12 tahun.
“Angka-angka ini menjadi peringatan yang serius bahawa kita tidak boleh leka atau berasa terlalu selesa dengan keadaan semasa,” tambah beliau.
Justeru, pertubuhan seperti Sana memainkan peranan yang amat penting, sebagai rakan kongsi dalam menyediakan sokongan berterusan yang merangkumi pencegahan, pemulihan dan penyepaduan semula.
Antara lain, usaha pendidikan pencegahan dadah Sana telah menjangkau 48 sekolah dan lebih daripada 43,000 pelajar sepanjang 2026.
Sana juga telah menyokong 241 klien dan keluarga mereka menerusi lebih daripada 2,027 sesi perjumpaan sejak Januari.
Dalam pada itu Encik Tong turut berkongsi kadar kebentanan bagi tempoh dua tahun bagi kohort yang dibebaskan pada 2023 adalah sebanyak 21.9 peratus.
Manakala bagi mereka yang dibebaskan dari Pusat Pemulihan Dadah (DRC), kadar kebentanan dua tahun telah menurun daripada 30.8 peratus pada 2022 kepada 26.1 peratus pada 2023.
Oleh itu, perjuangan menentang dadah tidak boleh hanya dipikul oleh pemerintah, Sana atau satu pertubuhan sahaja, sebaliknya ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat, kata Encik Tong.