SEKTOR penerbangan di Singapura akan menerima sokongan tambahan pemerintah bernilai $84 juta sedang pemulihan daripada pandemik Covid-19 dijangka perlahan.
Sokongan kewangan lanjutan ini akan membantu industri penerbangan menangani kos operasi dan skim latihan yang bertambah di samping pelaburan dalam daya penghasilan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (29 Disember), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata, langkah sokongan baru itu penting dalam mengembalikan hab udara Singapura dan mempersiapkannya jika kembara udara kembali semula.
"Melihat pada sekatan sempadan yang berterusan dan munculnya kembali Covid-19 di banyak negara sepanjang musim sejuk ini, kembara udara tidak akan pulih secepatnya.
"Justeru itu, penting bagi kita mengekalkan sokongan bagi sektor ini dalam membantu syarikat penerbangan dan pekerjanya mengharungi krisis ini," jelas kenyataan tersebut.
CAAS menambah $39 juta akan disalurkan bagi membantu syarikat penerbangan menangani kos tambahan sewaktu pandemik.
Menjelaskan langkah yang diambil, CAAS berkata syarikat penerbangan telah membelanjakan jumlah yang penting bagi melaksanakan langkah yang memudahkan kembara udara selamat dengan mengurangkan risiko kesihatan awam.
Ia juga akur langkah-langkah ini memerlukan prasarana tambahan, peralatan dan tenaga kerja tetapi kos sedemikian "tidak boleh diperolehi semula daripada penumpang dalam tempoh sebegini."
Kata CAAS lagi:
"Bagi membantu mengurangkan sebahagian kos itu, pemerintah akan membiaya usaha menyokong pembangunan, pengambilan dan pengerahan teknologi inovatif dan langkah melindungi pekerja lapangan terbang kami dan kru udara daripada terkena jangkitan Covid-19.
"Ini termasuk sistem sanitasi pesawat dan muatan yang dibawa."
Pemerintah juga akan meneruskan usaha memberi rebat bagi yuran dan bayaran. Sebagai contoh, CAAS akan meniadakan bayaran sijil daya penerbangan yang sepatutnya diberikan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Singapura.
CAAS juga akan menyediakan rebat 50 peratus bagi bayaran lesen yang diperlukan bagi mengendalikan urusan sesudah mendarat dan khidmat katering di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar dari April lalu hingga 31 Mac tahun depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg