JIKA tidak mengalami sakit berat, para pesakit dinasihati supaya tidak mengunjungi Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) bagi mendapatkan rawatan.
Sebaliknya mereka boleh mengunjungi lebih 600 klinik perubatan umum (GP) setempat atau poliklinik bagi mendapatkan rawatan.
Begitulah nasihat yang diberikan beberapa doktor yang dihubungi Berita Minggu semalam mengenai peningkatan jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Dr Shariffa Syahidah, doktor keluarga dari OneCare Medical Group berkata:
"Sebaik-baiknya, mereka yang mengalami simptom pernafasan harus mengasingkan diri di rumah. Mereka harus melawat GP yang berdekatan, doktor keluarga, atau poliklinik terlebih dahulu jika mereka memerlukan sebarang ubat.
"Vaksinasi akan memberi beberapa tahap perlindungan terhadap penyakit yang teruk. Jadi kebanyakan kita yang divaksin berkemungkinan akan mengalami simptom ringan dan ia boleh diuruskan dengan ubat-ubatan yang terdapat di klinik.
"Jika mereka mengalami gejala yang lebih mendesak seperti kesukaran bernafas, sesak dada, atau muntah yang berterusan dan tidak boleh makan atau minum, maka perjalanan ke jabatan kecemasan mungkin dibenarkan."
Pemerintah sebelum ini menggalakkan majikan untuk tidak meminta cuti sakit (MC) yang alami masalah pernafasan atau jangkitan Covid-19.
"Ini adalah untuk mengurangkan beban pada GP dan poliklinik, dan untuk orang ramai tinggal di rumah dan berehat, daripada membuat perjalanan ke klinik atau hospital," tambah Dr Shariffa.
Hospital awam kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memastikan terdapat sumber dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menjaga pesakit.
Ini menyusuli peningkatan pesakit di (A&E) akibat gelombang Covid-19.
Tiga kelompok penjagaan kesihatan - Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional, Sistem Kesihatan Universiti Nasional dan SingHealth - berkata dalam satu kenyataan bersama malam kelmarin bahawa sejak permulaan tahun ini, jabatan kecemasan hospital mereka berdepan dengan bilangan pesakit yang sangat tinggi.
Dr Saiful Nizam, doktor keluarga dan juga pengarah perubatan MyHealth Medical Centre pula berkata:
"Pesakit Covid harus mengelakkan mengunjungi (A&E) kerana ia adalah terutamanya untuk kecemasan.
"Majoriti orang awam telah diberi vaksin dan kalau dijangkiti Covid akan mengalami simptom ringan dan akan pulih dengan sendirinya."
Beliau menasihati pesakit agar jangan panik kerana terdapat sistem yang boleh dipertingkatkan sekiranya keadaan mereka menjadi lebih teruk.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg