Topik diikuti
Pergi ke BHkuElak 'serbu' pasar, pasar raya
WALAUPUN rimas perlu mengenakan pelitup, seorang pengunjung pasar Geylang Serai, Encik Nirza Rahim, tetap menggunakannya apabila melangkah ke luar rumah.
Tidak seperti hari-hari biasa, pasar yang dikunjunginya di Geylang Serai tidak sesak dan sibuk, membuatkan pengalaman Encik Nirza membeli-belah di pasar suatu yang lebih tenang tanpa perlu berasak-asak.
"Nampaknya amalan jarak selamat di pasar Geylang Serai sangat tertib. Orang ramai sudah tahu menjaga jarak," ujarnya yang berusia 50-an tahun.
Memberikan perkembangan tindakan yang diambil bagi mereka yang melanggar langkah jarak selamat dan pemakaian pelitup, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada Khamis (16 April) berkata, sekitar 50 orang telah ditemui tidak mematuhinya ke luar rumah.
"Walaupun tidak mudah menyesuaikan diri berada lama dalam rumah, memakai pelitup dan mengekalkan jarak selamat semasa berada di luar, ia genting bagi membendung penularan Covid-19. Setiap kali leka akan melemahkan pertahanan kita bersama terhadap virus ini," katanya di Facebook pada hari kedua penguatkuasaan terhadap peraturan baru itu dilaksana.
Lagi sekitar 150 orang telah yang melanggar langkah jarak selamat pada Khamis, akan didenda.
Selain di pasar Geylang Serai, pengunjung pasar di Bedok North, Cik Nurani Esoof, turut bersependapat bahawa keadaan di pasar lebih tenang, malah sudah menjadi norma baru untuk penjual serta pembeli saling mengingati tentang jarak selamat.
Beliau juga memerhatikan ramai pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang dilihat meronda dan menegur orang yang diri dekat sangat antara satu sama lain.
"Ia jelas lebih teratur dan orang ramai mematuhi undang-undang," ujar penjawat awam berusia 31 tahun itu.
"Saya rasa langkah ini perlu, lebih-lebih lagi kehadiran pegawai NEA...ini bukan untuk membuat orang rasa takut tetapi menggambarkan betapa serius keadaan ini."
