DUA Singapura yang berbeza, yang boleh menyebabkan pergeseran dalam masyarakat boleh menjadi suatu realiti jika negara ini tidak melakukan lebih banyak dalam menangani isu ketidaksamaan, kata Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.

Dalam hal ini, adalah penting Singapura "berwaspada terhadap perpecahan dalam masyarakat" di mana golongan berada ditandingi oleh golongan kelas pertengahan dan bawahan, ujar Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied itu semasa perbahasan belanjawan pada Rabu.

"Kompak sosial Singapura mestilah satu, di mana kita maju bersama sebagai sebuah Singapura untuk menangani masa depan yang tidak menentu dan berpotensi mengganggu.

"Kita mesti berwaspada terhadap perpecahan dalam masyarakat di mana yang kaya dan berada, yang berpendapatan tinggi, ditandingi oleh keseluruhan Singapura lain," kata beliau.

"Jika Singapura tidak melakukan lebih banyak lagi, ancaman yang muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu mengenai potensi kemunculan dua Singapura, mungkin menjadi kenyataan," kata Encik Pritam.

Satu daripada dua negara Singapura itu, jelas beliau, ialah negara yang terhubung dengan dunia sebagai hab ekonomi di mana gaji tinggi dan banyak peluang tersedia.

Singapura yang satu lagi ialah negara yang didiami majoriti warga Singapura, yang terdapat persepsi mobiliti sosial perlahan, berkaitan dengan realiti harga perumahan yang tinggi.

"Hari ini, prospek menaik taraf kepada kondominium atau rumah berhalaman tidak begitu realistik bagi pemilik rumah HDB, tidak seperti pada dekad yang lalu.

"Membeli kereta adalah kemewahan yang sukar dicapai bagi kebanyakan orang, tidak seperti di banyak negara lain.

"Pada masa lalu, walaupun anda mungkin tidak cemerlang di sekolah, jika anda bersedia bekerja keras dan simpan duit, anda boleh jadi kaya dan berjaya.

"Namun, hari ini pandangan yang dikongsi ialah apabila anda tidak berjaya secara akademik, meskipun anda bekerja keras bertahun-tahun, kejayaan dan kekayaan sukar dicapai," ujar Encik Pritam.

Untuk menentang persepsi "dua Singapura", pengagihan semula mestilah menjadi teras dasar pemerintah, katanya.

Beliau menambah bahawa Parti Pekerja (WP) menyokong idea masyarakat progresif di mana mereka yang berpendapatan lebih tinggi membayar lebih banyak cukai.

Dalam ucapannya, Encik Pritam juga menyentuh tentang tiga isu khusus yang dibentangkan semasa belanjawan.

Pertama, beliau mempersoal bagaimana inisiatif Penyepadu Kemahiran Pekerjaan berbeza daripada usaha-usaha sebelum ini untuk membantu majikan meningkatkan latihan dan penempatan pekerja.

Kedua, mengenai keputusan menaikkan siling gaji Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kepada $8,000, Encik Pritam bertanya apakah pemerintah telah menimbangkan meningkatkan jumlah caruman yang dimasukkan ke dalam akaun Khas, untuk lebih menjamin kecukupan persaraan.

Mengurangkan peruntukan ke akaun Biasa "dari tahun-tahun awal seseorang" dengan pada masa sama mengutamakan akaun Khas dengan kadar faedah lebih tinggi adalah lebih baik dalam memenuhi keperluan persaraan warga Singapura, katanya.

Ketiga, geran lebih tinggi bagi pembeli flat jualan semula mungkin bakal menaikkan harga hartanah jualan semula, terutamanya flat lebih besar dan di kawasan popular, kata Encik Pritam.

"Dalam semangat menyegarkan semula kompak sosial kita, saya memperbaharui gesaan saya agar pemerintah mengatakan harga tanah bagi projek perumahan awam tertentu dan subsidi berkaitan projek BTO (Bina Ikut Tempahan) supaya warga Singapura boleh melibatkan pemerintah dengan lebih bermakna sepanjang usaha Melakar Hala Tuju Singapura," ujar beliau.