Pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia membentuk kurang 2 peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian Singapura, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 24 Oktober.

Pihak berkuasa itu menyatakan demikian susulan pengumuman seorang pegawai Indonesia bahawa negara itu akan mengurangkan eksport gas ke Singapura melalui dua saluran paip yang dihubungkan secara langsung ke negara ini.

Ketua badan pengawal selia minyak dan gas Indonesia SKK Migas, Encik Djoko Siswanto, sebelum ini dipetik media Indonesia pada 23 Oktober sebagai berkata bahawa negara itu akan memotong eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) bermula 24 Oktober.

Jurucakap EMA berkata berdasarkan maklumat diterima oleh pengimport gas asli Singapura, jumlah pengurangan itu mencecah 17 BBTUD bagi tempoh 18 hari.

Jumlah permintaan gas harian Singapura pula mencecah lebih 1,000 BBTUD, tambahnya.

“Ini kurang 2 peratus dari keseluruhan permintaan gas harian kita yang melebihi 1,000 BBTUD.

“EMA memahami bahawa pihak pengimport kita akan menggunakan segala saluran penyelesaian dalam kontrak mereka berhubung gangguan bekalan gas tersebut,” kata jurucakap itu.

Ia menambah bahawa pihak berkuasa mempunyai pelan luar jangka bagi menangani pengurangan bekalan sedemikian.

Contohnya, Singapura pernah mengalami pengurangan bekalan gas antara 20 BBTUD hingga 100 BBTUD sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat kerja penyelenggaraan yang dirancang atau segera. Kekurangan tersebut berjaya diganti dengan sumber gas lain tanpa sebarang insiden.

EMA menegaskan Singapura mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

Singapura bergantung kepada gas asli bagi 95 peratus keperluan penjanaan kuasanya. Gas ini disalurkan menerusi paip dari Malaysia dan Indonesia, ataupun dalam bentuk gas asli cecair (LNG) dari seluruh dunia.

Negara ini juga giat mempertingkat usaha mempelbagaikan sumber tenaganya dengan melabur dalam pemasangan panel suria di peringkat tempatan, selain menjalankan kajian dalam teknologi baharu seperti tenaga nuklear dan geoterma.

Jurucakap EMA menambah, Singapore GasCo – entiti pemerolehan dan pembekalan gas asli pusat negara ini – bersedia dari segi operasi untuk mengimport lebih banyak LNG pada bila-bila masa.

“Selain Indonesia, Singapura mengimport gas asli daripada pelbagai sumber lain di seluruh dunia. Syarikat-syarikat penjanaan kuasa juga perlu mengekalkan simpanan bahan api yang mencukupi untuk penjanaan elektrik, termasuk simpanan diesel.

“Oleh itu, kita mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi permintaan nasional kita,” katanya.

Sementara itu, syarikat Gas Supply, antara pembekal gas terbesar Singapura berkata penghantaran gas kepada pelanggannya terjejas akibat “pengurangan sementara” bekalan daripada pembekalnya di Indonesia.

Ia memaklumkan pihaknya telah berhubung secara langsung dengan pelanggan yang terjejas dan menghargai kesabaran serta pemahaman mereka sepanjang tempoh ini.

Pengurangan bekalan gas itu berlaku susulan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, pada 22 Oktober, bahawa negaranya mungkin menghentikan eksport tenaga kepada negara-negara yang gagal menunjukkan rasa hormat terhadapnya.

Menurut laporan media, pengurangan eksport itu hanya menjejas Singapura memandangkan saluran paip dari Natuna dan Sumatera disambung secara langsung ke negara ini.

Eksport dari Natuna dilaporkan akan dikurangkan sebanyak 15 BBTUD, manakala 16 BBTUD lagi dipotong daripada bekalan gas Jambi Merang di Sumatera.

Laporan media Indonesia menyifatkan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden Prabowo Subianto untuk mengutamakan keperluan tenaga domestik di tengah-tengah kebimbangan yang kian meningkat mengenai jaminan tenaga.