EMPAT anggota baru akan dilantik menyertai Majlis Agensi Hartanah (CEA) mulai hari ini.
Presiden CEA, Encik Quek See Tiat, serta sembilan lagi anggota termasuk Pengarah Urusan Nan Guan Construction Pte Ltd, Encik Mohamed Abdul Akbar Mohamed Abdul Kader, pula dilantik semula.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan CEA semalam, empat anggota baru CEA itu ialah Pengarah Dasar Geo-Strategik dan Daya Tahan Sosial di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Philomena Aw; Pengarah Kumpulan (Pentadbiran dan Penjualan Tanah) di Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Encik Jason Teo; Rakan Kongsi di PricewaterhouseCoopers LLP Singapura, Cik Woo Shea Leen; serta peguam, Cik Yashodhara Dhoraisingam.
Selain Encik Quek dan Encik Mohamed Abdul Akbar, anggota lain dilantik semula ialah Pengarah Eksekutif CEA, Encik Lim Chee Hwee; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Estet) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Encik Mike Chan; anggota lembaga pengarah Edmund Tie Holdings, Cik Koh Choon Fah; Pengarah Eksekutif Persatuan Pengguna Singapura (Case), Cik Lee Siow Hwee; Peguam Kanan dan Pengarah Urusan LVM Law Chambers LLC, Encik Lok Vi Ming; Pengerusi Eksekutif Raffles Campus Group, Encik Ng Boon Yew; Pengurus Negara Singapura PropertyGuru Group, Dr Tan Tee Khoon; dan Ketua Pegawai Operasi ERA Singapore, Encik Thomas Tan.
Dengan pelantikan itu, Majlis CEA kini akan mempunyai 14 anggota termasuk Encik Quek.
Mereka dilantik bagi tempoh dua tahun hingga 31 Oktober 2024.
Menurut kenyataan itu, MND dan CEA menyambut anggota baru itu serta mengalu-alukan sumbangan berterusan presiden dan anggota majlis yang dilantik semula.
"MND dan CEA juga ingin merakamkan penghargaan buat Encik Sin Lye Chong, Cik Deborah Ong dan Cik Tan Pei Shan bagi khidmat mereka yang sangat berharga, bimbingan dan sumbangan mereka sepanjang mereka berkhidmat," menurut kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg