EMPAT pelajar telah menerima antara $7,000 dengan $8,000 untuk meneruskan pengajian pada peringkat tinggi dalam bidang kerja sosial dan khidmat sosial menerusi Anugerah Pembelajaran Kerja Sosial Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Ini merupakan tahun ketiga anugerah tersebut diberikan kepada pelajar yang berhasrat mendalami pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut.
Sokongan dan platform yang diberikan ini bertujuan menggalak lebih banyak rangsangan kepada dinamik sosial masyarakat Muslim menerusi pendidikan bermutu selain memupuk seseorang menjadi individu yang menyumbang kepada masyarakat.
Anugerah tersebut telahpun disampaikan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, bersama Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulid (LBKM), Encik Suhaimi Salleh, semasa satu majlis yang diadakan di Akademi Muis, baru-baru ini.
Dalam ucapannya semasa majlis tersebut, Encik Kadir menekankan bagaimana perubahan demografik Singapura mempunyai kesan terhadap peranan pekerja sosial dan bagaimana ia telah berubah bagi memastikan ia terus memenuhi keperluan berubah-ubah dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan.
"Peranan pekerja sosial kian berkembang agar mereka yang tidak mendapat khidmat, kurang diberikan khidmat dan kumpulan yang mudah terjejas ditawarkan dengan suara serta laluan untuk menyokong mereka dalam masa-masa sukar.
"Sumbangan pekerja sosial kita dalam masyarakat amat meluas," katanya.
Di bawah skim anugerah ini, pada 2019, Muis menawarkan geran sebanyak $150,000 kepada LBKM untuk mentadbir pengagihannya sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat penglibatan masyarakat selain kepakaran mereka dalam menawarkan khidmat sosial.
Dalam pada itu, Encik Kadir turut melahirkan penghargaannya kepada LBKM kerana menyokong dalam bentuk mentadbiran pengagihan daya usaha tersebut.
Salah seorang penerima ialah Cik Siti Nur Adilah Hashim yang sedang mengikuti pengajian sarjana muda sains sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurutnya, anugerah ini telah meransangnya mendalami ilmu dalam sektor khidmat sosial ni.
"Sektor khidmat sosial membolehkan saya menawarkan interaksi dan bantuan kepada lebih ramai individu dan kumpulan. Ia amat pelbagai dan saya mempunyai banyak pilihan tentang peranan yang ingin saya lakukan.
"Tambahan lagi, anugerah ini akan menyokong merendahkan kos dan perbelanjaan sedang saya berusaha dengan gigih untuk meraih kedua-dua matlamat pendidikan dan kerjaya dalam bidang ini," katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg