Diluluskan pada 1995, Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) membolehkan ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan, serta tidak berdaya menyara diri, menuntut penyaraan daripada anak yang mampu menyokong mereka tetapi tidak berbuat demikian. Akta itu sedang disemak untuk mencapai keseimbangan antara melindungi anak daripada penyalahgunaan MPA dengan membantu warga emas yang mudah terjejas dengan lebih baik. Ikuti laporan BERITA HARIAN mengenai pelaksanaan MPA sejak hampir tiga dekad lalu, serta apa semakan yang sedang dipertimbangkan.
DALAM kebanyakan kes warga emas memerlukan yang tampil mendapatkan bantuan kewangan di Sesi Bertemu Penduduk (MPS), mereka biasanya tidak menerima nafkah daripada anak.
Tetapi sepanjang dua tahun beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen sejauh ini, Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade), belum melihat kes di mana warga emas ini mengambil tindakan di bawah Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) untuk menuntut nafkah daripada anak mereka.
"Mungkin mereka tidak sedar tentang pilihan ini. Atau dalam kebanyakan kes, mereka tidak mahu berbuat demikian.
"Tetapi sebenarnya ini sesuatu yang kami boleh tawarkan kepada mereka sebagai jalan terakhir," ujar Encik Fahmi.
Beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, berkata demikian dalam satu wawancara dengan Berita Harian.
Encik Fahmi merupakan antara sembilan AP yang menganggotai Kumpulan Kerja bagi Semakan Akta Penyaraan Ibu Bapa, yang sedang mengkaji langkah memastikan keperluan warga emas dipenuhi.
Diluluskan pada 1995, Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) membolehkan ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan, serta tidak berdaya menyara diri, menuntut nafkah daripada anak yang mampu menyokong mereka tetapi tidak berbuat demikian.
Tahun lalu, sebanyak 110 kes dikemukakan kepada Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa (CMP).
Angka ini telah merosot daripada 303 kes pada 2012 - tahap tertinggi sepanjang sedekad lalu.
Seorang jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sebelum ini berkata lebih ramai warga emas lebih muda kini lebih mampu dari segi kewangan dan lebih bersiap sedia untuk persaraan menerusi penggunaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan simpanan peribadi.
Warga emas juga menerima lebih banyak sokongan daripada pemerintah melalui skim seperti pakej Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, yang antara lain menawarkan subsidi tambahan bagi penjagaan kesihatan.
'TIDAK MAHU BEBANKAN ANAK'
Encik Fahmi juga akur kebanyakan ibu bapa tidak mahu membebankan anak mereka semasa mereka meniti usia senja.
"Saya juga seperti ramai ibu bapa yang tidak mahu susahkan anak kita apabila kita tua nanti.
"Kita boleh berusaha dengan merancang awal, membuat pelaburan baik untuk persaraan kita. Tetapi ini satu aspirasi dan tidak semua orang yang mungkin boleh mencapainya," ujar Encik Fahmi.
Beliau juga menarik perhatian kepada sistem sokongan keluarga dan sifat bertanggungjawab yang masih kekal tinggi di Singapura.
Satu tinjauan menunjukkan empat dalam lima orang di Singapura bersetuju bahawa anak-anak harus membalas jasa dan menjaga orang tua yang telah membesarkan mereka.
Tinjauan melibatkan 1,000 responden itu dijalankan pada Januari hingga Februari lalu, sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan pandangan orang awam mengenai semakan MPA.
MENGIMBANGI ANTARA PERLINDUNGAN WARGA EMAS DAN SALAH GUNA AKTA
Kumpulan Kerja bagi Semakan MPA itu diterajui sembilan Anggota Parlimen, dan dipengerusikan Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade).
Kumpulan itu ditubuhkan pada Oktober 2021 untuk menyemak akta yang kali terakhir dipinda pada 2010 itu sebagai sebahagian usaha memastikan keperluan warga tua dipenuhi.
Baru-baru ini, kumpulan kerja itu membentangkan saranan mereka yang bertujuan mencapai keseimbangan antara melindungi anak daripada penyalahgunaan MPA dengan melindungi dengan lebih baik warga emas yang mudah terjejas.
Perubahan pertama yang disarankan: ibu bapa yang ada rekod mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak mereka perlu terlebih dahulu meminta kebenaran Tribunal sebelum melaksanakan proses pendamaian bersama anak mereka bagi cuba menangani perbezaan mereka.
Jika usaha pendamaian gagal, mereka boleh membawa ketidakpuasaan itu ke tribunal yang akan memutuskan sama ada dan berapa banyak nafkah yang perlu diberikan.
Ini sedang satu daripada tiga kes di tribunal melibatkan dakwaan ibu bapa yang pernah mendera, mengabai atau meninggalkan anak mereka.
Satu lagi perubahan yang disarankan akan membolehkan tribunal menolak permohonan remeh atau menyusahkan tanpa memberitahu anak tentang tuntutan ibu bapanya.
Menurut undang-undang, permohonan remeh atau menyusahkan merujuk kepada kes tidak mungkin membawa sebarang huraian berguna atau orang memfailkan kes hanya ingin memalukan atau mengganggu pihak lawan mereka.
Si anak perlu melindungi diri mereka dalam kes sedemikian di bawah peraturan sedia ada dan pengalaman itu mungkin mendatangkan trauma, terutama jika mereka didera oleh ibu bapa pada masa lalu.
Perubahan ketiga adalah memberi kuasa kepada Pesuruhjaya bagi Akta Penyaraan Ibu Bapa untuk menghubungi anak yang mengabaikan ibu bapa mereka supaya menghadiri proses perdamaian di pejabat pesuruhjaya.
Ini boleh dilakukan meskipun ibu bapa itu tidak setuju atau tidak memohon perintah penyaraan.
Namun, jika pendamaian gagal, ibu bapa harus bersetuju memohon nafkah sebelum pesuruhjaya boleh memohon kepada Tribunal bagi pihak mereka. Ini hanya untuk ibu bapa yang melarat yang tinggal di rumah kebajikan yang mempunyai anak yang mampu untuk menanggungnya.
Perubahan keempat yang disarankan bertujuan membenarkan tribunal memperkenal perintah bukan kewangan, misalnya mewajibkan ibu bapa yang menghadapi masalah perjudian atau ketagihan lain menghadiri kaunseling.
Arahan seperti itu bertujuan mengatasi punca pertelingkahan yang mungkin menyebabkan anak enggan memberi nafkah kepada ibu bapa.
CABARAN KE DEPAN
Encik Fahmi berkata perubahan ini bertujuan mengatasi segelintir kes dalam masyarakat di mana sistem sokongan keluarga telah gagal, dan campur tangan perlu diambil sebagai jalan terakhir.
Biasanya jika kes itu sampai ke tahap itu, hubungan antara ibu bapa dengan anak sudah retak dan sukar dipulihkan.
Oleh itu, usaha memupuk nilai kekeluargaan dan tanggungjawab itu harus dipupuk dari awal lagi, kata Encik Fahmi.
Dengan saiz keluarga yang mengecil, ini mungkin memberi lebih tekanan kepada anak supaya menyokong ibu bapa pada masa depan, berbanding dahulu.
Tetapi saiz keluarga dan bilangan anak juga tidak menjamin sokongan untuk ibu bapa, kata Encik Fahmi lagi.
"Kita mendengar tentang keluarga besar tetapi tidak seorang pun yang nak jaga mak bapak.
"Ada juga keluarga kecil tetapi semua bergotong royong untuk sokong ibu bapa. Ini kerana nilai keluarga dan ikatan mereka kukuh," ujar Encik Fahmi.
Dengan inflasi dan kos sara hidup yang meningkat, lebih ramai individu juga yang mungkin menghadapi kesukaran memenuhi tanggungjawab mereka.
Skim bantuan pemerintah juga perlu peka membantu golongan pertengahan yang bukan sahaja perlu menyara kehidupan anak, bahkan orang tua.
Tetapi ini juga kembali kepada nilai dan keutamaan individu, kata Encik Fahmi.
"Tidak ada jumlah wang yang mencukupi sebenarnya untuk diberikan kepada ibu bapa tetapi biasanya ia bukan mengenai berapa jumlah wang diberikan.
"Tetapi masalahnya, ada yang tidak mampu berikan langsung.
"Apa yang penting adalah nilai dan keutamaan individu itu," ujar Encik Fahmi.
Orang ramai boleh mengongsi pandangan mereka mengenai pindaan yang disarankan itu di https://go.gov.sg/feedbackmpa.
SAIZ KELUARGA TIDAK JAMIN SOKONGAN BAGI IBU BAPA...
"Kita mendengar tentang keluarga besar tetapi tidak seorang pun yang nak jaga mak bapak.
Ada juga keluarga kecil tetapi semua bergotong royong untuk sokong ibu bapa. Ini kerana nilai keluarga dan ikatan mereka kukuh."
- Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade), antara sembilan AP yang menganggotai Kumpulan Kerja bagi Semakan Akta Penyaraan Ibu Bapa, yang sedang mengkaji langkah memastikan keperluan warga emas dipenuhi.
YANG PENTING NILAI DAN KEUTAMAAN
"Tidak ada jumlah wang yang mencukupi sebenarnya untuk diberikan kepada ibu bapa tetapi biasanya ia bukan mengenai berapa jumlah wang diberikan.
Tetapi masalahnya, ada yang tidak mampu berikan langsung. Apa yang penting adalah nilai dan keutamaan individu itu."
- Encik Mohd Fahmi Aliman.
EMPAT PINDAAN YANG DISARANKAN
- Satu kumpulan kerja terdiri daripada Anggota Parlimen telah menyarankan empat pindaan untuk memperkukuh Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA)
- Pindaan tersebut bertujuan mengimbangi antara perlindungan anak-anak daripada penyalahgunaan MPA, serta membantu warga emas yang mudah terjejas
Berikut pindaan yang diusulkan:
- Pindaan 1: Ibu bapa yang mempunyai rekod dera anak mesti dapatkan izin tribunal sebelum melaksana proses pendamaian bersama anak mereka di pejabat pesuruhjaya
- Pindaan 2: Membenarkan tribunal untuk mengetepikan kes yang remeh atau sengaja menyusahkan, tanpa memberitahu anak tentang tuntutan ibu bapanya
- Pindaan 3: Membenarkan pesuruhjaya untuk mencari anak-anak ibu bapa yang hidup melarat tanpa perlu permohonan rasmi daripada ibu bapa
- Pindaan 4: Membenarkan tribunal untuk membuat arahan tidak berkaitan kewangan, seperti arahan kaunseling bagi ibu bapa yang ketagihan judi contohnya, atau kaunseling keluarga untuk mengatasi hubungan yang retak
AKTA PENYARAAN IBU BAPA (MPA)
SEJARAH MPA
- 1994-1995: Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) diperkenalkan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Walter Woon
- 2010: Kumpulan kerja yang dipimpin AP Encik Seah Kian Peng mengusulkan pindaan kepada MPA, antaranya mewajibkan proses pendamaian untuk menghuraikan kes secara baik
- 2021: Kumpulan kerja baru ditubuhkan untuk menyemak MPA, untuk mencapai keseimbangan antara melindungi anak daripada penyalahgunaan MPA, dan membantu warga emas yang mudah terjejas dengan lebih baik
GLOSARI
- Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA): Membolehkan tindakan guaman diambil bagi warga emas yang diabaikan untuk mendapatkan penyaraan daripada anak mereka
- Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa (CMP): Sediakan proses pendamaian untuk bantu ibu bapa dan anak menghuraikan isu penyaraan tanpa perlu mengambil tindakan guaman. Ia satu wadah bukan guaman.
- Tribunal Penyaraan Ibu Bapa (TMP): Satu badan bebas berfungsi kuasi-kehakiman (quasi-judicial)
di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat and Keluarga (MSF) untuk mendengar dan memutuskan permohonan di bawah MPA.
ANGGOTA PARLIMEN (AP) YANG MENGANGGOTAI KUMPULAN KERJA SEMAKAN TERBARU MPA
- Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade)
- Encik Murali Pillai (Bukit Batok)
- Cik Tin Pei Ling (MacPherson)
- Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar)
- Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade)
- Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio)
- Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar)
- Cik Carrie Tan (GRC Nee Soon)
- Encik Melvin Yong (Radin Mas)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg