Sekitar 5,000 flat akan dibina di bawah enam projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di kejiranan Mount Pleasant, dengan projek pertama dilancar pada 2025.
Estet di bekas tapak Akademi Polis Lama (OPA) itu akan menawarkan beberapa ciri serta bangunan bersejarah akademi itu yang dilestari dan diguna semula bagi kegunaan semasa.
Pelbagai ciri semula jadi dan warisan kawasan itu, yang seluas 33 hektar, akan digabungkan ke dalam reka bina estet perumahan baru itu, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis.
Kawasan itu sekarang menempatkan beberapa banglo hitam putih zaman prapeperangan dan terletak dekat Bukit Brown dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.
Bagi menyokong usaha pelestarian ciri-ciri berwarisan tersebut, HDB telah melantik syarikat Studio Lapis sebagai pakar runding warisan.
Antara ciri reka bina yang dilestari ialah tiang dan struktur kemudahan latihan yang dikenali sebagai ‘old drill shed’, iaitu salah sebuah bangunan tertua di OPA, yang akan digabungkan dengan estet baru itu.
Tempat berteduh itu sebenarnya adalah kemudahan latihan luas di bawah bumbung besi dan diguna bagi latihan perarakan, majlis penyampaian anugerah, persembahan pancaragam dan latihan jasmani bagi pegawai pelatih.
Studio Lapis akan memeriksa kemudahan latihan itu dan mengenal pasti kerosakan sebelum melakukan kajian lanjut untuk melihat apakah ia boleh diguna semula sebagai sebahagian daripada struktur pada masa depan, kata HDB.
Ia juga akan menjamin bagaimana ciri berwarisan OPA itu akan dikeluarkan dan disimpan.
Dapatan kajian itu akan membantu HDB dalam menggabungkannya ke dalam reka bentuk projek BTO di situ.
Sebuah kumpulan bertugas yang dipimpin Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebagai pengerusinya dibentuk pada 2021 untuk melihat cara mengekalkan warisan akademi itu.
Ia telah menyarankan agar blok atau batu permulaan kolam renang akademi itu diberi nafas baru sebagai hiasan jalanan estet tersebut.
Untuk menjadikan kejiranan itu lebih menarik dan memaparkan sejarahnya, kumpulan itu menyarankan nama baru bagi dua jalan raya di situ, iaitu Mt Pleasant Avenue dan Old Police Academy Road, bersama nama jalan raya diwarta – Onraet Road dan Wong Chin Yoke Road, kata HDB.
Lembaga Nama Bangunan dan Jalan Raya telah meluluskan kesemua empat jalan raya itu pada Mei 2023.
Sebelum ini, HDB mengumumkan enam bangunan bersejarah di situ akan dilestari.
Ia adalah sepasang bangunan neoklasik diguna bagi tujuan pentadbiran di ruang masuk akademi itu serta dua banglo diguna sebagai tempat penginapan pegawai kanan.
Baki dua bangunan terletak di luar kawasan estet yang dirancang, iaitu Dewan Makan Pegawai Kanan Polis dan Blok 13, iaitu sebuah bangunan terasing yang dibina pada 1928 dan diguna sebagai wad hospital dan klinik OPA.
Ketika ditemui, Dr Faishal berkata adalah penting bagi pembangunan estet memaparkan sejarah yang telah memberi kesan kepada ramai warga Singapura serta menimbangkan kerelevanan dan keperluan semasa dan masa depan.
“Singapura selamat dan aman damai kerana kita mempunyai pasukan polis cekap dan sentiasa relevan, jadi adalah penting kita melihatnya bukan daripada segi warisan sahaja, bahkan daripada segi cari kita dapat menunjukkan bahawa pemerintah dan masyarakat sejagat rasa terhutang budi kepada semua pegawai polis,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg