Enam wanita telah disampaikan Anugerah Pencapaian Wanita Di Tempat Kerja (W@W) Mendaki pada 2 Mac.

Anugerah itu, yang julung kalinya diadakan, bertujuan untuk menggalak wanita kembali bekerja, kata Yayasan Mendaki dalam satu kenyataan pada 2 Mac.

Ia diberikan kepada mereka yang telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat menjalani program W@W.

Anggota Parlimen (AP) dan Penasihat GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, menyampaikan pengiktirafan itu semasa Forum W@W di Our Tampines Hub pada 2 Mac.

Acara tahunan itu, yang dianjurkan Yayasan Mendaki, turut dihadiri hampir 200 peserta dan karyawan wanita.

Dengan tema “Mendakap Teknologi Pada Masa Depan”, Forum W@W kali ini menampilkan dialog panel untuk meneroka peluang kerjaya, kemahiran dan pandangan dalam sektor teknologi.

Sembilan rakan kongsi juga menerima tanda penghargaan atas sumbangan dan sokongan mereka kepada program W@W.