Topik diikuti
Pergi ke BHkuEnam wanita dikenakan 17 tuduhan berhubung bantahan berkaitan isu Gaza
Enam wanita dikenakan 17 tuduhan berhubung bantahan berkaitan isu Gaza
Enam wanita berdepan dengan 17 tuduhan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam pada 9 September berhubung beberapa bantahan berkaitan isu Gaza.
Berusia antara 22 dengan 36 tahun, mereka didakwa atas kesalahan dikaitkan dengan beberapa insiden termasuk perarakan berhampiran Istana, berjalan kaki dari kawasan MRT Novena ke Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dan acara terbang layang-layang secara beramai-ramai di Marina Barrage.
Mereka ialah Nur Sabrina Kamel, 32 tahun; Nurul Afiqah Kamel, 33 tahun; Amirah Mokhlis, 33 tahun; Dayana Noor Mohamed, 36 tahun; Elijah Tay, 24 tahun dan Kyal Sin Linn Naing, 22 tahun.
Tay berdepan dengan sembilan tuduhan secara keseluruhan.
Enam daripadanya adalah di bawah Akta Ketenteraman Awam, termasuk berkaitan penyertaan dalam perarakan dan perhimpunan awam tanpa permit pada 2 Februari 2024.
Satu lagi di bawah Seksyen 298A9(b) Kanun Keseksaan berkaitan laungan yang dibuatnya semasa satu acara pada 2 Februari 2024.
Menurut polis, wanita itu mengetuai laungan “From the river to the sea, Palestine will be free” semasa satu acara yang disiarkan secara langsung dalam talian pada 2 Februari 2024.
Polis berkata laungan itu menyokong penghapusan Israel yang berpenduduk majoriti Yahudi.
Baki dua tuduhan pula adalah kerana enggan menjawab soalan pegawai awam.
Pada hari yang sama, Nurul Afiqah dan Dayana juga telah menyertai acara tanpa permit di perimeter Istana.
Kumpulan itu telah berhimpun sepanjang Orchard Road dan berjalan menuju ke Istana membawa payung bercetak gambar tembikai – simbol menyokong Palestin.
Kyal Sin dan Amirah, masing-masing menghadapi satu tuduhan, manakala Dayana dan Afiqah, masing-masing dikenakan dua tuduhan.
Nur Sabrina pula menghadapi satu tuduhan di bawah akta yang sama dan juga satu tuduhan di bawah Akta Gangguan.
Menurut polis, Nurul Afiqah, Amirah, Dayana dan Nur Sabrina mempunyai peranan dalam menganjurkan acara perhimpunan besar, iaitu menerbangkan layang-layang, tanpa permit di Marina Barrage pada 27 Oktober 2024 dalam usaha menyokong kesedaran mengenai isu Gaza.
Lima tertuduh diwakili peguam Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, manakala Kyal Sin diwakili peguam Encik Derek Wong Kim Siong.
Enam tertuduh masing-masing ditawarkan ikat jamin sebanyak $5,000 pada 9 September.
Kes tersebut mendapat penangguhan hingga 7 Oktober.
Sekitar 250 orang berkumpul di luar Mahkamah Negara selepas prosiding itu untuk menunjukkan sokongan terhadap enam wanita berkenaan.
Pengerusi dan Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah dan Dr Chee Soon Juan, turut hadir semasa prosiding.
Sebahagian besar daripada mereka turut mengenakan keffiyeh hitam putih sebagai tanda perpaduan dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Antara yang hadir ialah sepasang suami isteri, bagi memberikan sokongan kepada salah seorang tertuduh yang mereka kenali.
Enggan mendedahkan nama mereka, pasangan tersebut berkata pengalaman menghadiri prosiding mahkamah buat kali pertama itu merupakan satu pengalaman yang membuka mata dan memberikan mereka perspektif baharu.
“Ia merupakan satu pengalaman baharu... Kami memang mengenali salah seorang daripada tertuduh dan ingin memberikan sokongan kepadanya,” kata mereka ketika ditemui Berita Harian (BH) di luar Mahkamah Negara.
Selain itu, seorang guru berusia 46 tahun turut hadir meskipun tidak mengenali mana-mana tertuduh secara peribadi dan hadir atas sokongan terhadap perjuangan tersebut dan bukannya sebagai sebahagian daripada mana-mana kumpulan
Menurut wanita berkenaan, media sosial menjadi antara sumber penting untuk mendapatkan maklumat dan mengikuti perbincangan mengenai isu-isu semasa.
