Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eng Hen: Dunia perlu usaha 'sejukkan' hubungan tegang AS-China

Feb 19, 2023 | 5:30 AM
Lee Cheng Yan
Lee Cheng Yan -

HUBUNGAN tegang antara Amerika Syarikat dengan China belum mencapai lagi tahap yang teruk, tetapi ia semakin melarat dan dunia mesti usahakan semampu yang boleh untuk menyejukkan ketegangan itu, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.

Berucap di Persidangan Keselamatan Munich ke-59 pada Jumaat lalu, beliau menambah bahawa isu Taiwan mungkin menyebabkan konfrontasi secara fizikal - meskipun jika kedua-dua kuasa besar itu tidak mahukannya - dan memberi amaran tentang kos konflik sedemikian.

Beliau menyentuh tentang langkah yang diambil kedua-dua pihak boleh dilihat sebagai menuju ke arah peperangan, seperti akses Amerika baru-baru ini ke lebih banyak pangkalan tentera di Filipina dan kehadiran tentera China yang semakin meningkat di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.

Walaupun langkah sedemikian bagi pencegahan masih aktif, gendang perang belum mula dipukul dengan jelas, kata Dr Ng di persidangan peringkat tinggi itu, iaitu acara tahunan utama bagi penggubal dasar pertahanan dan luar negara.

Peperangan di Asia akan memusnahkan, bukan sahaja Asia malah seluruh dunia, kata beliau.

"Sebab mencetus peperangan di Asia tidak boleh disokong. Pertaruhannya tidak berbaloi.. akibatnya membawa bencana dan alternatif yang berdaya maju memang wujud," kata beliau.

Pemimpin dunia yang menghadiri acara tiga hari di Hotel Bayerischer Hof itu termasuk Naib Presiden Amerika, Cik Kamala Harris; diplomat terkemuka China, Encik Wang Yi; dan Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz.

Ini adalah persidangan pertama seumpama itu sejak perang Ukraine meletus pada akhir Februari 2022.

Pertemuan sebelumnya diadakan ketika tentera Rusia berkumpul di sempadan Ukraine.

Hubungan Amerika-China berada di bawah ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan insiden tembakan belon intip China yang menceroboh ruang udara Amerika pada awal Februari lalu, terus menjadi tajuk berita utama.

Dr Ng, yang bercakap pada sesi meja bundar tertutup bersama pegawai lain seperti Setiausaha Ehwal Luar Filipina, Encik Enrique Manalo, dan bekas Naib Menteri Ehwal Luar China, Cik Fu Ying, berkata ucapannya disusun berdasarkan dua soalan utama.

Adakah konflik fizikal antara Amerika dengan China tidak boleh dielakkan dalam dekad akan datang? Apabila ia berlaku, apakah kemungkinan dari segi punca atau justifikasi untuk peperangan berlaku?

Beliau menyatakan bahawa kedua-dua Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, telah berkata bahawa negara mereka tidak mencari masalah - yang diulangi Encik Biden selepas belon China ditembak.

Namun, pemimpin tentera dari kedua-dua pihak tidak begitu berhati-hati, kata Dr Ng.

Sebagai contoh, seorang jeneral Amerika baru-baru ini menulis memo dalaman tentang persiapan menghadapi konflik pada 2025.

Bekas naib pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat China, Encik Xu Qiliang, juga telah menggesa Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) untuk bersiap sedia, selepas kongres parti ke-20 Parti Komunis itu pada Oktober 2022.

Dr Ng menyentuh tentang perkembangan yang boleh dilihat oleh China sebagai persediaan untuk berperang.

Contohnya ialah pembentukan Quad - kumpulan dialog yang terdiri daripada Amerika, Australia, India dan Jepun - dan kerjasama keselamatan Aukus antara Australia, Britain dan Amerika yang diumumkan pada 2021.

Amerika juga telah menyokong usaha membina keupayaan serangan balas Jepun, dan baru-baru ini memperoleh akses kepada empat pangkalan tentera tambahan di Filipina.

Perbelanjaan pertahanan China pula telah meningkat - bajet pertahanan 2022 ialah AS$229.5 bilion ($306.9 bilion), satu peningkatan dari setahun yang lalu sebanyak 7.1 peratus, dan tahun ketujuh pertumbuhan berterusan, kata Dr Ng.

Terdapat rondaan hampir setiap hari oleh pengawal pantai China di kawasan utama yang dipertikaikan di seluruh Laut China Selatan, tambahnya, dan jet pejuang China kerap melintasi garisan tengah di Selat Taiwan.

Langkah ke arah kemerdekaan Taiwan akan mencetuskan konflik. Kemalangan atau insiden juga boleh berlaku, kata Dr Ng, yang menghadiri Persidangan Keselamatan Munich untuk kali ke-11.

Kejadian yang hampir mencetuskan bahaya berlaku baru-baru ini, termasuk penembakan belon intip China minggu lalu yang menurut Amerika bertujuan untuk pengawasan. Pada Disember 2022, jet pejuang Tentera Laut PLA datang dalam jarak 3 meter dari pesawat pengawasan Tentera Udara Amerika di Laut China Selatan, yang memaksanya melakukan gerakan mengelak.

"Kami tidak berada di tempat yang selesa. Suhu tidak mendidih tetapi sudah tentu meningkat. Kami mesti melakukan semua yang kami mampu untuk menyejukkannya," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg