PENUMPANG yang perlu menambah nilai kad ez-link anak mereka atau ibu bapa mereka yang sudah tua kini boleh melakukan demikian secara mudah dengan pelancaran ciri akaun keluarga baru semalam.
Seorang pengguna boleh menghubungkan sehingga tujuh kad ke satu akaun keluarga dan menambah nilai kad pada jarak jauh menerusi aplikasi telefon ez-link.
Individu yang membuat akaun keluarga itu akan secara automatik menjadi pentadbir akaun dan boleh mengundang sehingga enam lagi pemegang kad konsesi SimplyGo atau ez-link SimplyGo untuk turut serta sebagai tanggungan.
Pemegang akaun utama akan dapat melihat rekod transaksi bagi kad yang dihubungkan dan juga melihat di mana setiap kad digunakan, yang berguna buat penjaga golongan yang menghidap demensia, kata EZ-Link.
Buat masa ini, kad konsesi yang diberikan kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab rendah tidak boleh dihubungkan kepada akaun keluarga, tetapi terdapat rancangan untuk memasukkannya lewat tahun ini, kata syarikat tersebut.
Dahulu, lebih daripada satu kad boleh ditambah ke akaun peribadi, tetapi setiap kad boleh dihubungkan kepada hanya satu akaun. Setiap kad kini boleh menyertai sehingga dua akaun keluarga berbeza.
Ketua eksekutif EZ-Link, Encik Nicholas Lee, berkata:
"Dengan memperkenalkan akaun keluarga, kami berharap dapat menjadikan tugasan yang kelihatan kecil tetapi penting iaitu mengurus perbelanjaan harian dan perjalanan keluarga lebih cekap dan menyeronokkan buat semua."
Ciri baru itu bertujuan melibatkan lebih ramai penumpang warga emas dan tanggungan lain dalam ekosistem perkhidmatan digital ez-link, kata EZ-Link.
Ia menambah bahawa kemas kini lanjut kepada akaun keluarga, seperti menghantar notifikasi 'push' kepada pentadbir akaun apabila baki kad rendah, akan dilancarkan pada masa depan, lapor akhbar The Straits Times.
"Dengan memperkenalkan akaun keluarga, kami berharap dapat menjadikan tugasan yang kelihatan kecil tetapi penting iaitu mengurus perbelanjaan harian dan perjalanan keluarga lebih cekap dan menyeronokkan buat semua."
- Ketua eksekutif EZ-Link, Encik Nicholas Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg