Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fahmi: Kekal relevan dengan latihan semula, tingkatkan diri

Oct 29, 2020 | 6:30 AM
SEMBANG SOAL KERJA: Encik Fahmi (di skrin video) menyertai perbincangan podcast mengenai pekerjaan semasa dan selepas Covid-19 bersama hos, Shahida Sarhid (kiri) dan Hans Ashrie (kanan). Bersama mereka ialah (dari kiri) Encik Azrulnizam, Cik Rasidah dan Encik Gan. - Foto BH oleh SITI AISYAH NORDIN
SEMBANG SOAL KERJA: Encik Fahmi (di skrin video) menyertai perbincangan podcast mengenai pekerjaan semasa dan selepas Covid-19 bersama hos, Shahida Sarhid (kiri) dan Hans Ashrie (kanan). Bersama mereka ialah (dari kiri) Encik Azrulnizam, Cik Rasidah dan Encik Gan. - Foto BH oleh SITI AISYAH NORDIN - SITI AISYAH NORDIN

KESAN kemelesetan ekonomi gara-gara pandemik Covid-19 sememangnya meluas dan dirasakan di seluruh dunia.

Ini dicerminkan antara lain menerusi kadar pemberhentian kerja di sini, yang naik lebih seganda dalam suku kedua 2020, kepada 8,130, jauh lebih tinggi daripada 6,700 yang dianggarkan.

Malah, jumlah tersebut lebih tinggi daripada pekerja yang diberhentikan semasa penularan Sars mencapai kemuncaknya pada 2003.

Bagaimanapun, melebihi kesan jangka pendek, pandemik tersebut dijangka meninggalkan kesan yang lebih berpanjangan kepada landskap perniagaan dan pekerjaan yang akan berubah pasca Covid-19, dan pekerja haruslah bersiap sedia meningkatkan kemahiran, mendapatkan kemahiran baru untuk kekal relevan.

Demikian antara mesej Anggota Parlimen (AP) gerakan buruh, Encik Fahmi Aliman, dalam siri podcast '#NoTapis: Cari Kerja Masa Pandemik' yang dihasilkan Berita Harian (BH) dengan sokongan Tenaga Kerja Singapura (WSG).

Episod pertama podcast tersebut bertemakan 'Adakah pekerjaan saya akan kembali selepas Covid-19?'.

Turut menyertai perbincangan ialah Jurulatih Kerjaya WSG, Cik Rasidah Rasid; pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Azrulnizam Shah dan Encik Gan Shee Wen, Ketua Pegawai Eksekutif (CEsyarikat Commune Singapore.

Mengenai perubahan kepada landskap kerja dan perniagaan, Encik Fahmi, yang juga AP GRC Marine Parade dan Mayor Southeast CDC, berkata:

"Meskipun kita berdepan dengan keadaan yang mencabar, jangan putus asa kerana masih ada banyak peluang.

"Dalam kemelesetan ini, ada sektor yang masih berkembang atau mempunyai potensi berkembang dan mencari pekerja."

Antaranya termasuk sektor kejuruteraan jitu (precision engineering), sektor makanan dan minuman dan perkhidmatan kewangan.

Encik Fahmi juga menggalak pekerja untuk meneroka peluang pekerjaan dan latihan di bawah Pakej Pekejraan dan Latihan SGUnited.

Dalam pada itu, Cik Rasidah pula menekankan pekerja yang rasa bimbang dengan perubahan tidak perlu menangani kerisauan itu seorang diri.

Menurutnya, mengambil langkah menukar kerjaya atau meneroka bidang baru adalah sesuatu yang tidak mudah.

"Namun, kami di WSG bersedia untuk membantu pekerja, membimbing mereka sepanjang perjalanan ini," menurutnya.

Sebagai jurulatih kerjaya, antara sokongan yang boleh diberikan Cik Rasidah ialah dengan membantu pekerja membuat penilaian mengenai kemahiran, kecenderungan dan minat mereka sebelum melakar langkah seterusnya dalam memilih laluan kerjaya atau latihan yang paling sesuai.

Encik Azrulnizam dan Encik Gan pula berkongsi bagaimana syarikat-syarikat kini juga menjalani perubahan dan justeru memerlukan pekerja yang dapat memenuhi keperluan mereka dalam landskap perniagaan baru itu.

MESEJ KEPADA PEKERJA

"Meskipun kita berdepan dengan keadaan yang mencabar, jangan putus asa kerana masih ada banyak peluang. Dalam kemelesetan ini, ada sektor yang masih berkembang atau mempunyai potensi berkembang dan mencari pekerja." - Encik Fahmi Aliman, Anggota Parlimen (AP) gerakan buruh, yang juga AP GRC Marine Parade dan Mayor Southeast CDC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg