FairPrice minta maaf insiden daging ayam halal terlabel sebagai daging babi
FairPrice minta maaf insiden daging ayam halal terlabel sebagai daging babi
PASAR raya NTUC FairPrice telah meminta maaf berkaitan kesilapan terlabel produk ayam halal sebagai daging babi, selepas satu pos mengenai perkara itu timbul dalam sebuah kumpulan Facebook.
FairPrice mengatakan dalam satu pos di Facebook kelmarin bahawa ia memandang serius perkara tersebut dan proses tambahan telah dilaksana untuk mengelak ia daripada berulang.
"Kami memandang perkara ini dengan sangat serius dan telah menetapkan proses tambahan untuk mengelakkan sebarang kesilapan seperti ini daripada berlaku pada masa akan datang," kata FairPrice kelmarin.
"Kami sedar tentang kepekaan berkaitan kesilapan itu dan benar-benar meminta maaf atas kesilapan yang timbul," ujarnya.
FairPrice juga mengingatkan orang ramai supaya menghubungi kakitangan pasar raya itu dengan segera jika kesalahan seperti itu berlaku lagi, agar i dapat melakukan pembetulan dengan segera.
Sesiapa yang mempunyai sembarang pertanyaan mengenai perkara itu boleh menghubungi perhubungan pelanggan pasar raya itu di talian 6552-2722 atau mengirim e-mel ke general.feedback@fairprice.com.sg, tambah FairPrice.
Sementara itu, dalam satu pos berasingan semalam, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia telah maklum tentang insiden salah label itu.
"(Insiden) ini adalah peringatan baik bagi pengguna Muslim agar sentiasa memeriksa label produk sebelum membeli," kata Muis.
Ia menasihatkan masyarakat supaya segera menghubungi pegawai sekiranya terjadi insiden serupa.
"Marilah kita sama-sama menjadi warganegara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang rasa panik atau pun perselisihan faham," tambahnya.
"(Insiden) ini adalah peringatan baik bagi pengguna Muslim agar sentiasa memeriksa label produk sebelum membeli... Marilah kita sama-sama menjadi warganegara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang rasa panik atau pun perselisihan faham." - Muis.

