PASAR Raya NTUC FairPrice (FairPrice) hari ini mengumumkan langkah meluaskan produk halal yang dijualnya dan sumbangan derma $20,000 kepada Yayasan Mendaki, kedua-duanya bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat sempena Ramadan tahun ini.
Langkah ini menyaksikan penambahan produk yang disahkan Halal kepada sebanyak 5,700 tahun ini berbanding 5,000 produk Halal sedia ada yang ditawarkan tahun lalu.
Bagi meraikan langkah ini dan ketibaan bulan Ramadan, FairPrice akan menyumbang $20,000 kepada Mendaki.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FairPrice, Encik Seah Kian Peng, berkata: "Memandangkan keadaan Covid-19 ini terus menjejas kehidupan kita, mendukung budaya dan tradisi menjadi lebih penting bagi memastikan kita terus berdiri sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, berbilang budaya.
"Ramadan adalah masa penting untuk masyarakat Islam, dan kami mengingatinya dengan menghulurkan derma kepada Yayasan Mendaki, dengan iltizam untuk meningkatkan lagi keupayaan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam. Dengan peluasan produk terbaharu, cawangan-cawangan FairPrice kini boleh menawarkan lebih 5,7000 produk yang disahkan halal, membolehkan pelanggan Muslim menikmati pilihan lebih luas dan kepelbagaian untuk keperluan perbelanjaan harian mereka. Kami akan terus meningkatkan barangan untuk layanan pelanggan yang lebih baik."
Jumlah produk yang lebih luas ini menyaksikan pengenalan beberapa jenama baru seperti, antara lainnya, Good Virtues Co., Asyura dan Pondok Abang, selain meluaskan produk bagi jenama sedia ada.
Antara produk halal yang ditawarkan, lebih 400 merupakan produk berjenama FairPrice.
Produk-produk halal ini didapatkan dari pelbagai negara, termasuk Australia, Brazil, Indonesia, Italy, Malaysia, New Zealand, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Yayasan FairPrice dalam pada itu menyatakan, sumbangan $20,000 adalah bagi membantu keluarga Islam bergaji kecil menerusi pemberian dermasiswa, subsidi untuk yuran sekolah dan daya usaha program akademik lainnya. Tahun lalu, Yayasan FairPrice turut menyumbang $20,000 kepada Mendaki.
CEO Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata: "NTUC FairPrice merupakan salah satu penyokong kuat kami yang memberi sumbangan besar dalam usaha meningkatkan masyarakat Melayu/Islam ke arah kejayaan menerusi pendidikan. Sumbangan $20,000 ke Dana Amanah Pendidikan (ETF) memastikan setiap penerima ETF menerima bantuan yang diperlukan bagi mencapai kecemerlangan akademik. Mendaki dan masyarakat menghargai sumbangan besar ini, terutamanya di masa-masa mencabar ini."
Sementara itu, FairPrice juga mengumumkan bahawa antara 24 April hingga 23 Mei ini, ia akan memberikan kurma percuma dan minuman kepada semua pelanggan Muslim setiap hari, setengah jam sebelum dan selepas waktu berbuka puasa di 58 cawangan, serata negara - berbanding 40 cawangan tahun lalu.
Daya usaha ini dimulakan sejak 2009.
Kurma yang diagihkan akan dipek terlebih dahulu kepada beg individu untuk diambil sendiri, yang akan diselia kakitangan yang memakai pelitup dan melaksanakan jarak selamat dan langkah kawalan kesesakan.
Pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi langkah terbaharu pemerintah bagi memastikan setiap orang boleh mengambil barangan mereka dengan selamat semasa tempoh ini.
Menurut FairPrice, suhu badan pengunjung akan diambil di cawangannya, kecuali cawangan di dalam gedung membeli-belah.
Pelanggan dengan suhu badan 37.5 darjah selsius tidak dibenarkan masuk dan dinasihatkan mendapat rawatan.
Pelanggan juga diingatkan agar memakai pelitup dan mengekalkan jarak selamat semasa beratur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg