FairPrice tawar baucar $8 bagi setiap $100 dibelanja dari 5-16 Feb
FairPrice tawar baucar $8 bagi setiap $100 dibelanja dari 5-16 Feb
Pelanggan akan menerima baucar bernilai $8 bagi setiap $100 yang dibelanjakan dalam satu resit di semua pasar raya FairPrice dari 5 hingga 16 Februari.
Pelanggan boleh menerima sehingga empat baucar bagi setiap urus niaga, dan semua kaedah pembayaran diterima, termasuk Baucar Pasar Raya Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) serta Linkpoints, kata FairPrice Group dalam satu kenyataan pada 5 Februari.
Baucar tersebut boleh ditebus tanpa had perbelanjaan minimum, mulai hari selepas ia diterima, sehingga 3 Mac.
Menurut FairPrice Group, baucar itu ditawarkan bagi membantu rakyat Singapura menjimatkan perbelanjaan mereka sempena musim perayaan, menjelang Tahun Baru Cina pada 17 Februari.
“Dengan kurang daripada dua minggu sebelum Tahun Baru Cina, kami sedar ramai rakyat Singapura akan sibuk membuat persiapan terakhir perayaan mereka,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan FairPrice Group, Encik Vipul Chawla.
Pada Januari, FPG telah memperkenalkan pembekuan harga, termasuk bagi semua produk makanan laut dan sayur-sayuran popular, sehingga 3 Mac.
Ini selain menawarkan baucar pulangan bernilai $6 bagi setiap perbelanjaan $60 apabila menggunakan baucar CDC dalam satu urus niaga di pasar raya FairPrice, dari 2 hingga 11 Januari.
Kumpulan itu juga akan melanjutkan waktu operasi pasar raya sempena cuti umum Tahun Baru Cina.
Dari 12 hingga 15 Februari, cawangan FairPrice Xtra di Hougang One, JEM, Kallang Wave Mall, Changi Business Park, Parkway Parade dan VivoCity akan beroperasi sehingga 2 pagi setiap hari.
Pada hari pertama Tahun Baru Cina, 156 daripada 168 cawangan FairPrice di serata negara akan terus dibuka.
Daripada jumlah itu, 42 cawangan akan beroperasi selama 24 jam, manakala baki 114 cawangan akan dibuka sehingga 5 petang.
Semua cawangan FairPrice akan kembali kepada waktu operasi biasa mulai hari kedua Tahun Baru Cina, pada 18 Februari.

