Topic followed successfully
Go to BHkuFairPrice uji kenderaan berautonomi angkut barangan dari Pokka
FairPrice uji kenderaan berautonomi angkut barangan dari Pokka
FairPrice uji kenderaan berautonomi angkut barangan dari Pokka
FairPrice Group sedang menguji penggunaan kenderaan berautonomi (AV) untuk mengangkut barangan daripada pembekal minuman, Pokka, ke pusat pengedaran FairPrice.
Sejak bermula pada 25 Februari, percubaan selama enam minggu itu menyaksikan kenderaan tersebut berulang-alik sejauh enam kilometer, menghubungkan gudang Pokka di Benoi Crescent dengan pusat pengedaran FairPrice Group di Joo Koon Circle.
Perkara itu diumumkan oleh kedua-dua syarikat itu pada 2 April.
AV milik FairPrice itu bergerak pada kelajuan antara 30 kilometer sejam dengan 40 kilometer sejam di laluan yang telah ditetapkan.
Pengendali gudang memberi arahan kepada AV tersebut menggunakan aplikasi telefon pintar.
Selain AV itu, FairPrice mempunyai enam lagi kenderaan serupa yang digunakan untuk mengangkut barangan antara pusat-pusat pengedarannya.
Pada Oktober 2025, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah meluluskan penggunaan AV oleh FairPrice bagi laluan di antara pusat-pusat pengedarannya.
FairPrice Group, pengendali rangkaian pasar raya FairPrice, melaporkan bahawa AV itu kini melaksanakan lebih 100 perjalanan setiap minggu.
Setiap AV berupaya membawa muatan sehingga 1.5 tan, terdiri daripada produk hasil pertanian yang tidak sejuk, produk berbungkus, dan pelbagai keperluan lain.
Jenis AV yang sama, yang dibekalkan oleh Zelos Technology dari China, digunakan dalam ujian terkini bersama Pokka.
Direka khusus sebagai pod berautonomi, AV itu bersaiz hampir sama dengan kereta biasa, namun mampu mengangkut sehingga tiga palet barangan, dengan berat keseluruhan mencecah 1.5 tan.
Kapasiti muatan itu jauh melebihi van elektrik kecil yang biasanya hanya mampu mengangkut barangan seberat 800 kilogram hingga satu tan.
Walaupun begitu, muatannya masih jauh lebih rendah berbanding kapasiti 22 palet yang boleh dimuatkan ke dalam trak kontena diesel konvensional.
Setelah berjaya menamatkan laluan yang merangkumi pelbagai senario pemanduan di jalan raya awam – termasuk penukaran lorong dan melintasi simpang – AV itu akan meletak kenderaan secara automatik di ruang terbuka berhampiran kawasan pemunggahan di kemudahan Pokka.
Seorang pengendali trak angkat susun kemudian akan memuatkan palet tersebut ke dalam kenderaan itu.
Memandangkan ia tidak mempunyai roda stereng atau kabin untuk pemandu, AV itu akan diekori oleh seorang pengendali keselamatan di dalam sebuah van.
Pengendali itu bersedia untuk campur tangan melalui kawalan jauh, jika perlu.
Pengendali tersebut turut merekodkan tingkah laku kenderaan tersebut di jalan raya; cara ia berinteraksi dengan pengguna jalan raya lain; serta bagaimana ia menangani halangan seperti kerja membaiki jalan.
Maklumat tersebut disalurkan kepada pembangun AV itu bagi menambah baik perisiannya, serta diberikan kepada LTA yang telah meluluskan laluan yang digunakan.
Apabila percubaan itu selesai pada akhir April dan setelah mendapat kelulusan LTA, kenderaan keselamatan tersebut tidak akan digunakan lagi.
FairPrice Group kemudian akan menggunakan AV sepenuhnya untuk mengangkut barangan dari gudang Pokka.
Sekiranya percubaan itu berjaya, FairPrice Group mungkin akan memperluaskan penggunaan kenderaan sedemikian kepada lebih banyak pembekal.
Ini akan meningkatkan kecekapan, menangani kenaikan kos logistik, serta mengurangkan cabaran tenaga kerja.

