ANGGOTA Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Faisal Manap telah mengundur diri sebagai naib pengerusi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).
Beliau bakal digantikan AP GRC Aljunied Leon Perera.
Langkah tersebut diambil untuk memberi kedua-dua AP itu pendedahan dalam peranan kepimpinan menurut majlis bandaran itu.
Sementara itu, AP GRC Aljunied Gerald Giam dilantik semula sebagai naib pengerusi AHTC, peranan yang dipegangnya sejak April 2021. Ditanya mengenai langkah itu, jurucakap AHTC berkata ia adalah "sebahagian daripada latihan penggiliran dalam kalangan AP untuk memudahkan keupayaan kepimpinan lebih mendalam".
Perubahan itu berlaku di tengah-tengah ketidakpastian mengenai masa depan Encik Faisal, selepas beliau dan ketua WP yang juga Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh dirujuk oleh Parlimen kepada Pendakwa Raya untuk siasatan lanjut berhubung peranan mereka dalam skandal pembohongan yang melibatkan mantan AP WP Raeesah Khan.
Encik Faisal, yang merupakan naib pengerusi parti, dan Encik Singh boleh kehilangan kerusi mereka di Parlimen jika mereka akhirnya didakwa, disabitkan kesalahan dan didenda sekurang-kurangnya $10,000.
Encik Faisal, yang menyelia bahagian Kaki Bukit bagi GRC Aljunied, telah menjadi naib pengerusi majlis bandaran sejak April 2021. - The Straits Times


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg