SIASATAN yang sangat teliti telah dimulakan terhadap kes anggota bomba Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang meninggal dunia ketika memadamkan api dalam satu kebakaran di sebuah flat di Henderson Road Khamis lalu.
Ini diumumkan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semalam.
"Kami sedang menjalankan siasatan. Kami telah mula melihat tapak kejadian dan juga orang yang terlibat. Kami akan memaklumkan kepada keluarga dan orang ramai apabila ia telah selesai," katanya.
Dr Faishal turut mengucapkan takziah bagi pihak Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) kepada keluarga Koperal Edward H. Go dan mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya.
"Kami berasa sedih dengan kehilangan Koperal Go yang telah meninggal dunia dalam menjalankan tugas, dalam misi untuk menyokong, melindungi dan menyelamatkan nyawa dan harta benda," ujar Dr Faishal.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota NS kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya dan mengorbankan masa untuk terus membina negara ini supaya dapat hidup dalam keadaan aman serta tenteram.
Semalam turut menyaksikan mendiang Koperal Go mendapat penghormatan sebelum hari pengebumiannya.
Ramai anggota keluarga serta sahabat handai hadir dalam satu upacara persemadian untuk mendiang bagi memberikan penghormatan terakhir di Trinity Casket Chapel of Light di 38, Sin Ming Drive semalam.
Tayangan slaid yang mempamerkan foto Koperal Go juga dimainkan ketika pengunjung mengucapkan takziah.
Ucapan takziah ditujukan kepada bapanya, Encik Daniel, dan ibu mendiang, Cik Helen, dan kakaknya, Cik Rachel.
Acara penghormatan sebelum pengebumiannya diadakan sehingga 8 malam hari ini.
Upacara pengebumian pula akan diadakan pada tengah hari Selasa sebelum mayatnya bertolak untuk upacara pengebumian dan pembakaran di Krematorium Mandai.
Koperal Go adalah sebahagian daripada kakitangan respons pertama yang bertindak untuk memadamkam api dalam satu kebakaran di Blok 91 Henderson Road Khamis lalu.
Dalam operasi itu, beliau pengsan di kawasan dapur flat tersebut.
Beliau kemudian dibawa keluar dari flat itu dan diberikan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Beliau menyertai SCDF untuk menjalani NS pada 5 Januari lalu dan memulakan latihannya selama 12 minggu sebagai seorang anggota bomba pada 3 Februari.
NSF itu menamatkan latihannya pada 28 April dan kemudian ditugaskan di Balai Bomba Central pada 4 Mei setelah selesai menjalani kursus anggota bombanya.
Sebelum menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa, Koperal Go disahkan sihat dari segi perubatan dan dinilai sebagai status A bagi Piawai Status Pekerjaan Fizikal (PES).
Presiden Halimah Yacob turut menyampaikan takziah mendalam kepada keluarga dan orang tersayang Koperal Go.
Beliau berkata, mendiang telah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh keberanian, dalam catatan Facebooknya kelmarin.
Orang ramai turut memberikan penghormatan kepada Koperal Go dengan meletakkan jambangan bunga dan ucapan khas di Balai Bomba Central di Hill Street, di mana mendiang ditugaskan.
Sebilangan pengguna juga mengutuskan ucapan takziah di lelaman media sosial.
Seorang pengguna Facebook yang mendakwa dirinya sebagai rakan keluarga mendiang mengatakan, Koperal Go adalah "sumber kebahagiaan" keluarganya.
Seorang lagi pengguna menyifatkan mendiang sebagai seseorang yang hatinya sentiasa baik dan murni" dan anggota bomba yang berlatih dengan keberanian dan rasa hormat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg