Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Konflik luar negara boleh beri kesan kepada keselamatan S’pura

Naratif pelampau berkaitan perbalahan di Timur Tengah timbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial
Jan 11, 2025 | 1:07 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata walaupun sudah lebih setahun sejak bermulanya konflik Israel-Hamas, naratif pelampau berkaitan perbalahan yang kian meningkat di Timur Tengah menimbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata walaupun sudah lebih setahun sejak bermulanya konflik Israel-Hamas, naratif pelampau berkaitan perbalahan yang kian meningkat di Timur Tengah menimbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial. - Foto fail

Tiga warga Singapura yang menjadi radikal melalui dalam talian, secara berasingan dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan bagaimana konflik di luar negara boleh memberi kesan kepada keselamatan Singapura, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Berkata demikian dalam catatan Facebook beliau pada 11 Januari, Dr Faishal berkata walaupun sudah lebih setahun sejak bermulanya konflik Israel-Hamas, naratif pelampau berkaitan perbalahan yang kian meningkat di Timur Tengah menimbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial.

“Meskipun kes mereka tiada kaitan, radikalisasi mereka dicetus atau diburukkan oleh konflik Israel-Hamas.

“Ketiga-tiga mereka telah buat persiapan untuk melibatkan diri dalam perang pengganasan bersenjata di luar negara.

“Kes-kes ini menunjukkan bagaimana konflik luar negara boleh memberi kesan ke atas keselamatan Singapura.

“Walaupun sudah lebih setahun sejak konflik Israel-Hamas bermula, naratif pelampau mengelilingi perbalahan yang semakin meningkat di Timur Tengah menimbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial,” tulisnya.

Dr Faishal turut menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap unsur radikal dan naratif pelampau.

Beliau menekankan bahawa langkah membuat laporan awal membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sebelum individu yang menjadi radikal sendiri boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Beliau menggesa orang ramai yang mengesyaki sesiapa yang telah diradikalisasi agar segera menghubungi ISD di talian 1800-2626-473.

Menurut satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 9 Januari, tiga individu tersebut ialah Muhammad Indra Aqmal Effendy, seorang mekanik lif berusia 21 tahun; Mohamad Latiff Rahim, seorang pengarah syarikat pemasaran digital berusia 41 tahun; dan Nurisham Yusoff, seorang pengawal keselamatan berusia 44 tahun.

Indra dan Nurisham merancang berjuang demi Hamas dan sayap tenteranya, Briged Al-Qassam (AQB), di Gaza, manakala Latiff merancang berperang bersama tentera Iran dan kumpulan militan yang disokong Iran seperti Hezbollah di Timur Tengah, untuk menentang Israel.

ISD berkata walaupun kes mereka tidak berkaitan, radikalisme mereka sama ada didorong atau diburukkan oleh konflik Israel-Hamas yang berterusan.

Sebagai persiapannya untuk ke Gaza, Indra berlatih mengisi semula ‘peluru’ dan melepaskan tembakan menggunakan pistol mainannya setiap hari untuk memperbaiki otot ingatannya dalam mengendalikan senjata.

Indra juga telah membuat carian dalam talian bagi lapangan menembak di Batam – untuk berlatih menggunakan senjata hidup.

Bagi Nurisham, dia percaya latihan ketenteraan yang dilaluinya semasa berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) boleh menjadi berguna dan bercadang untuk ke lapangan menembak di Batam.

Latiff pula, yang berpangkalan di Bangkok ketika ditahan, merancang berperang bersama tentera Iran dan kumpulan militan yang disokong Iran seperti Hezbollah di Timur Tengah, untuk menentang Israel.

Untuk mempersiapkan dirinya bagi pertempuran, Latiff telah melawat lapangan menembak di Bangkok pada 2022.

Meskipun Latiff tidak mempunyai sebarang rancangan khusus untuk melakukan serangan di Singapura, dia mengakui sanggup berbuat demikian jika diarahkan.

Latiff ditangkap ketika kembali ke Singapura pada Oktober 2024.

Kenyataan ISD juga menyatakan ketiga-tiga lelaki itu bertindak sendirian, dan tidak ada tanda bahawa mereka telah meradikalisasi atau merekrut orang lain di Singapura.

“ISD mengingatkan orang ramai untuk terus berwaspada terhadap unsur radikal dan naratif pelampau, yang menggalakkan tindakan keganasan dan ekstremisme ganas.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosikan, menjalankan atau membuat persediaan untuk melakukan keganasan bersenjata, tidak kira alasan apa mereka menggunakan, atau di mana keganasan itu berlaku.

“Anggota keluarga dan rakan-rakan merupakan orang terbaik untuk melihat perubahan dalam tingkah laku (seorang individu) dan memaklumkan pihak berkuasa jika mereka mengesyaki orang yang mereka sayangi telah menjadi radikal,” ujar ISD dalam kenyataannya.

“Walaupun sudah lebih setahun sejak konflik Israel-Hamas bermula, naratif pelampau mengelilingi perbalahan yang semakin meningkat di Timur Tengah menimbulkan ancaman berterusan kepada keselamatan negara dan keharmonian sosial.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg