Faishal: Serangan tragik Israel terutama di bulan suci tidak boleh diterima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Serangan tragik Israel terutama di bulan suci tidak boleh diterima

May 25, 2021 | 5:30 AM

Faishal: Serangan tragik Israel terutama di bulan suci tidak boleh diterima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. -

PERBUATAN Israel termasuk menggunakan kekerasan tidak seimbang terhadap orang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak tidak boleh diterima dan amat tragik, lebih-lebih lagi sewaktu tempoh suci bagi orang Islam, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menentang keganasan Israel di pos Facebooknya semalam, Dr Faishal berkata beliau rasa "terganggu" dengan perbuatan Israel.

"Melihat laporan media, Israel kelihatan telah menggunakan keganasan dan kekerasan tidak seimbang terhadap rakyat Palestin. Ya, terdapat serangan ke atas rakyat Israel, roket dibedil ke arah Israel, dan Hamas telah cuba membangkitkan kemarahan rakyat Israel. Tetapi secara keseluruhan, saya amat terkesan dengan perbuatan Israel: bagaimana pertikaian ini dimulakan dan bagaimana Israel telah menggunakan kekerasan tidak seimbang terhadap orang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak. Ia tidak boleh diterima dan amat tragik. Dan ia berlaku sewaktu tempoh suci bagi Muslim."

Pergerakan Hamas dan pemerintah Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata 21 Mei lalu, sekali gus mengakhiri pertempuran ganas yang berlangsung selama 11 hari sejak 10 Mei lalu.

Pergerakan Hamas yang secara sah mentadbir Jaluran Gaza dan sekutunya, Islamic Jihad, mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuat kuasa bermula 2 pagi 21 Mei lalu (waktu tempatan), atau 7 pagi waktu Singapura.

Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel, Kabinet Keselamatan pimpinan Encik Benjamin Netanyahu menerima 'dengan sebulat suara' cadangan yang dibuat atas daya usaha Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat itu.

Dr Faishal berkata beliau gembira kedua-dua Israel dan Palestin kini telah bersetuju untuk gencatan senjata, bagi menamatkan keganasan yang telah berterusan selama hampir dua minggu.

Meluahkan penghargaannya kepada warga setempat, Dr Faishal berkata warga Singapura ingin membantu dan ada yang telah mengumpul dana untuk membantu mereka di Gaza.

"Terdapat banyak pertanyaan daripada warga Singapura tentang bagaimana mereka boleh membantu, lebih-lebih lagi disebabkan keadaan kemanusiaan teruk di Gaza.

"Beberapa warga setempat telah memulakan usaha mengumpul dana mereka sendiri.

"Saya benar-benar menghargai dan memuji semangat kemanusiaan dan sifat ihsan mendalam warga Singapura," katanya yang turut melahirkan harapan agar terdapat keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

Bagaimanapun, Dr Faishal mengingatkan orang ramai agar berhati-berhati dalam membuat sumbangan menerusi kumpulan luar negara yang tidak disahkan kerana ke mana wang itu disalurkan dan bagaimana wang itu digunakan tidak diketahui.

Dr Faishal menggesa orang ramai agar menyalurkan derma menerusi Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) serta Palang Merah Singapura yang sedang bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Menurutnya, lebih daripada $1.8 juta telah diraih RLAF dan Palang Merah Singapura menerusi sumbangan orang ramai sejauh ini.

Antara penderma kepada bantuan kemanusiaan itu ialah pasar raya Sheng Siong, yang menderma $200,000 kepada RLAF.

''Terdapat banyak pertanyaan daripada warga Singapura tentang bagaimana mereka boleh membantu, lebih-lebih lagi disebabkan keadaan kemanusiaan teruk di Gaza. Beberapa warga setempat telah memulakan usaha mengumpul dana mereka sendiri. Saya benar-benar menghargai dan memuji semangat kemanusiaan dan sifat ihsan mendalam warga Singapura.'' - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Amat terkesan dengan tindakan Israel

''Melihat laporan media, Israel kelihatan telah menggunakan keganasan dan kekerasan tidak seimbang terhadap rakyat Palestin. Ya, terdapat serangan ke atas rakyat Israel, roket dibedil ke arah Israel, dan Hamas telah cuba membangkitkan kemarahan rakyat Israel. Tetapi secara keseluruhan, saya amat terkesan dengan perbuatan Israel: bagaimana pertikaian ini dimulakan dan bagaimana Israel telah menggunakan kekerasan tidak seimbang terhadap orang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak. Ia tidak boleh diterima dan amat tragik. Dan ia berlaku sewaktu tempoh suci bagi Muslim.'' - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengenai konflik Israel-Palestin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg