Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Faishal: S’pura tetap berpendirian tegas terhadap dadah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: S’pura tetap berpendirian tegas terhadap dadah

Apr 18, 2024 | 04:28 PM



Singapura harus mengekalkan dasar dan undang-undang tegas terhadap penyalahgunaan dadah, termasuk hukuman mati bagi kesalahan tertentu bersangkutan dadah.

Ini di sebalik sikap lebih liberal terhadap penggunaan dadah secara global, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (gambar).

Dr Faishal berkata demikian semasa berucap dalam edisi kedua Seminar Pencegahan Kemudaratan pada 18 April di Hotel Furama RiverFront.

Seminar itu menghimpunkan pihak berkepentingan yang terlibat dalam usaha pencegahan atau campur tangan bagi penyalahgunaan dadah.

Ia merupakan sebahagian daripada program sepanjang tiga hari dari 16-18 April anjuran Divisyen Psikologi Home Team (HTPD) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bersama ahli psikologi Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Beliau berkata momentum sikap liberal terhadap kegunaan dadah semakin meningkat di persada antarabangsa, sekali gus membuatnya lebih mencabar bagi Singapura mengekalkan pendekatan pencegahan terhadap penyalahgunaan dadah.

Dr Faishal menjelaskan: “Lebih banyak negara kini menghala ke arah membenarkan penggunaan dadah di sisi undang-undang. Ia sedang berlaku di hampir setiap pelosok dunia.”

Beliau memberi contoh beberapa negara, seperti Thailand, yang telah meluluskan penggunaan ganja di sisi undang-undang pada Jun 2022.

Negara itu kini mempertimbangkan menarik balik rang undang-undang yang meluluskan penggunaan tersebut, memandangkan bilangan individu yang dikatakan ketagihan ganja naik empat kali ganda, katanya.

Beliau juga menukil contoh di Malaysia, yang pada Mei 2023 mengemukakan hasrat membenarkan penggunaan dadah dalam bilangan kecil untuk mengurangkan kesesakan penjara.

“Jika kita abaikan (data) sains dan longgarkan dasar antidadah, seperti yang dilakukan beberapa negara, situasi dadah di Singapura akan menjadi lebih teruk,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menekankan pendekatan oleh seluruh masyarakat yang begitu penting dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah.

Tetapi untuk berbuat demikian, beliau berkongsi bahawa pendekatan tersebut pertama sekali haruslah disokong bukti dan data.

“Kita dikelilingi oleh naratif yang disensasikan dan maklumat tidak tepat berkenaan dadah.

“Terdapat keperluan mendesak bagi penyelidikan terhadap dadah yang menyeluruh dan boleh dipercayai untuk ketengahkan kemudaratan dadah dan menyangkal naratif sedemikian,” kata Dr Faishal.

Beliau berkata MHA menjalankan kajian dengan Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk memahami faktor yang menyumbang kepada penyalahgunaan dadah – termasuk dari segi biologi, psikologi dan sosial.

Beliau turut mengumumkan bahawa Singapura menjadi anggota dalam Pesuruhjaya Dadah Narkotik buat kali pertama dengan menyalurkan dana bagi kajian yang mengenal pasti “impak sosial penggunaan dadah haram secara global”.

Dapatan daripada kajian itu akan dikongsi dalam Laporan Dadah Dunia pada 2025, tambahnya.

Bertemakan Masyarakat Bersatu terhadap Penyalahgunaan Dadah, peserta seminar disajikan dengan beberapa sesi perkongsian oleh pakar, dengan sesi perkongsian utama disampaikan pengkaji dari Metropolitan State University of Denver, Profesor Emeritus Dr Harvey Milkman.


Dr Milkman merupakan tulang belakang yang bersama-sama membangunkan Model Pencegahan Icelandic (IPM) bagi menangani kenakalan belia dan penyalahgunaan bahan di Iceland.

Beliau menyampaikan sesi bertajuk Membina Persekitaran Masyarakat yang Sihat untuk Pembangunan Positif terhadap Penyalahgunaan Dadah, berintipatikan prinsip IPM yang boleh digunapakai Singapura dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di sini.


Turut memberi perkongsian dalam seminar itu ialah pegawai kanan kes bagi Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) di AMP, Cik Siti Nurshafiqah Ashur; dan Ketua Ahli Psikologi HTPD, Dr Leung Chi Ching.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >