Apabila Encik Lee Kuan Yew mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang pertama, Singapura masih lagi dalam sistem pemerintahan sendiri di bawah pihak Britain.
Upacara itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Negara Sir William Allmond Codrington Goode, gabenor kolonial terakhir Singapura. Beliau berkhidmat dari 9 Disember 1957 hingga 2 Jun 1959 dan juga merupakan Yang di-Pertuan Negara pertama Singapura apabila Singapura mencapai taraf pemerintahan sendiri pada 3 Jun 1959.
Beliau memegang jawatan ini selama enam bulan sebelum digantikan oleh Encik Yusof Ishak.
Encik Lee Kuan Yew mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang pertama pada 5 Jun 1959.
Encik Lee, yang ketika itu berusia 35 tahun, tiba di Dewan Bandar Raya bersama pasukan Kabinetnya.
Mereka memakai seragam putih yang melambangkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai sebuah parti yang jujur dan bebas daripada rasuah – sesuatu yang Encik Lee ingin tekankan waktu itu.
Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama 31 tahun sebelum menyerahkan tugasnya kepada Encik Goh Chok Tong.
Anggota Kabinet pertama Singapura merangkumi Encik Lee Kuan Yew (Perdana Menteri); Dr Toh Chin Chye (Timbalan Perdana Menteri); Encik Ong Eng Guan (Menteri Pembangunan Negara); Dr Goh Keng Swee (Menteri Kewangan); Encik Ong Pang Boon (Menteri Dalam Negeri Singapura); Encik K. M. Byrne (Menteri Buruh dan Undang-Undang); Encik Ahmad Ibrahim (Menteri Kesihatan); Encik Yong Nyuk Lin (Menteri Pendidikan); dan Encik S. Rajaratnam (Menteri Kebudayaan).
Selain Perdana Menteri, pasukan Kabinet yang baru dilantik juga akan mengangkat sumpah di upacara mengangkat sumpah yang sama bagi Perdana Menteri. Pasukan Kabinet diumumkan beberapa hari sebelum upacara.
Pada 1990, Kabinet baru diumumkan lebih dari sebulan sebelum Encik Goh Chok Tong menjadi Perdana Menteri manakala pada 2004, rombakan Kabinet diumumkan dua hari sebelum Encik Lee Hsien Loong menjadi Perdana Menteri.
Encik Lawrence Wong pula mengumumkan pasukan Kabinetnya pada 13 Mei – dua hari sebelum upacara mengangkat sumpah pada 15 Mei 2024.
Upacara angkat sumpah Perdana Menteri kedua Singapura, Encik Goh Chok Tong, disaksikan oleh Presiden waktu itu, Encik Wee Kim Wee, dan dihadiri secara langsung oleh 200 tetamu termasuk 12 menteri pasukan Kabinetnya. Upacara itu berlangsung pada 28 November 1990.
Dalam ucapan beliau, Encik Goh, yang ketika itu berumur 49 tahun, menyatakan bahawa tugas mengambil alih peranan daripada Encik Lee Kuan Yew adalah sangat berat. Namun, beliau bertekad untuk menjalankan tugas dengan caranya yang tersendiri dan tidak meniru siapapun.
Gaya pentadbiran Encik Goh digambarkan sebagai yang bersifat konsultatif tetapi tegas.
Beliau menambah bahawa beliau akan menitikberatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh lagi identiti dan nilai-nilai budaya serta bahasa ibunda, mengekalkan nilai-nilai dahulu ke atas anak-anak, dan memberi peruntukan lebih besar untuk sekolah, hospital dan para pekerja.
Sebelum upacara mengangkat sumpah diadakan di Istana, ia diadakan di Dewan Bandar Raya Singapura. Encik Lee Kuan Yew mengadakan upacara tersebut di Dewan Bandar Raya kerana ia juga menempatkan upacara yang menyaksikan Singapura bebas daripada jajahan Jepun.
Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong mengangkat sumpah di tempat berkenaan sebelum ia ditukar ke Istana.
Upacara mengangkat sumpah Encik Lee Hsien Loong diadakan di Istana bagi menampung lebih ramai hadirin. Ia dihadiri oleh sekitar 1,040 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat – daripada pemilik gerai penjaja, pemandu teksi, orang kurang upaya, orang-orang yang ternama dan ramai lagi – sejajar dengan mesej ucapan beliau untuk melibatkan setiap warga Singapura dalam pembangunan Singapura.
Ia turut mencerminkan sifat beliau yang inklusif dan mementingkan setiap warga.
Encik Lee menjadi Perdana Menteri pada 12 Ogos 2004 pada usia 52 tahun. Upacara angkat sumpah disaksikan Hakim Besar Yong Pung How.
Anggota Kabinet seramai 28 menteri turut mengangkat sumpah selepas Encik Lee. Mantan Presiden Encik S.R. Nathan kemudian menyerahkan watikah pelantikan.
Dalam ucapannya di majlis itu, Encik Lee membentangkan matlamatnya untuk memenuhi aspirasi generasi pascamerdeka dan memberi tumpuan kepada pembaharuan kepimpinan, ekonomi serta pendidikan. Beliau ingin rakyat Singapura maju ke hadapan dan memberikan sumbangan kepada negara dan tidak hanya menunggu peluang. Beliau menitik beratkan kesatuan supaya Singapura dapat kembang dan mendapat kehidupan yang lebih baik.
Beliau menjanjikan bahawa tiada rakyat akan ketinggalan, bertekad menjaga golongan yang kurang berpendidikan, golongan perintis yang sudah banyak berjasa kepada pembangunan Singapura dan juga golongan kurang upaya.
Selepas upacara angkat sumpah, beliau mengunjungi kawasan undi beliau selama 20 tahun iaitu Teck Ghee di mana beliau disambut kira-kira 3,000 penduduk. Mereka telah menonton upacara tersebut dan menunggu kehadiran Encik Lee.
Encik Lawrence Wong, 51 tahun, dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura di Istana pada 8 malam 15 Mei.
Dalam sidang media pada 13 Mei, Encik Wong mengumumkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, 65 tahun, akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) mulai 15 Mei.
Encik Gan, 65 tahun, akan menyandang jawatan DPM bersama Encik Heng Swee Keat, 63 tahun, yang mengekalkan jawatannya.
Selain pelantikan Encik Gan sebagai DPM, senarai anggota Kabinet Encik Wong secara umumnya tidak berubah.
Anggota Kabinet Encik Wong akan turut mengangkat sumpah pada 15 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg