Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan Suruhanjaya Bersukan Dengan Selamat Sukan Singapura (SportSG) akan meneliti satu kes salah laku seksual yang didakwa dilakukan oleh seorang jurulatih daripada sebuah kelab bola sepak swasta.
Kelab tersebut, yang mempunyai pasukan lelaki dalam pelbagai peringkat usia, bermain dalam Liga Belia Singapura (SYL) kendalian kededua pertubuhan itu.
Liga yang diadakan dari 24 Februari hingga 1 Disember itu terdiri daripada enam kategori kumpulan usia - bawah lapan tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 13 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun, melibatkan lebih 200 pasukan daripada 52 kelab dan akademi.
Dakwaan tersebut didedahkan oleh satu penerbitan dalam talian, The Monitor SG (TMSG) pada 18 Jun.
Menurut laporan TMSG, jurulatih tersebut didakwa berkongsi satu gambar alat sulitnya di Instagram Story, yang hanya dapat dilihat oleh beberapa pemainnya.
Tiga lagi individu lain, dipercayai pemain ketika ini atau bekas pemain daripada kelab sama, turut menghubungi TMSG mengenai salah laku jurulatih itu, yang dikatakan termasuk mesej teks lucah.
Dalam satu kenyataan bersama kepada The Sunday Times pada 22 Jun, FAS dan agensi sukan nasional SportSG menyatakan ia sedia maklum mengenai perkara itu.
“Kami memandang serius sebarang salah laku yang mengancam nilai-nilai utama sukan dan menjejas kesihatan mental dan fizikal peserta.
“FAS kini bekerja rapat dengan Suruhanjaya Bersukan Dengan Selamat SportSG, untuk meneliti perkara ini dengan sewajarnya.
“Suruhanjaya Bersukan Dengan Selamat akan menilai sama ada satu pelanggaran terhadap Kod Bersatu Sukan Selamat telah berlaku, dan selepas itu, akan memulakan siasatan rasmi jika wajar,” menurutnya.
Untuk mengekang gangguan dan salah laku terhadap atlet, Suruhanjaya Bersukan Dengan Selamat ditubuhkan pada 2019 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSFD), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Pendidikan (MOE).
Selepas proses konsultasi selama sembilan bulan bersama lebih 200 pakar, atlet, ibu bapa dan pihak berkepentingan, suruhanjaya tersebut melancarkan Kod Bersatu Sukan Selamat pada 2021 untuk memberi garis panduan jelas kepada masyarakat sukan mengenai takrifan salah laku dalam sekitaran sukan.
Kod tersebut termasuk takrifan salah laku seksual, psikologi dan fizikal, serta perbuatan lain yang tidak wajar seperti ‘grooming’ atau asuhan seksual.
FAS dan SportSG menasihatkan atlet dan pemain supaya melaporkan sebarang kes penganiayaan dan/atau salah laku yang disyaki dalam kegiatan sukan melalui www.safesport.sg/case-management/reporting
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg