SINGAPURA melangkah ke Fasa Tiga pembukaan semula ekonomi semalam secara berwaspada, dengan langkah keselamatan terus dipatuhi di pusat beli-belah dan tempat menjual makanan, rumah ibadah serta pusat sukan dan riadah.
Bermula semalam, orang ramai di sini dibenarkan berkumpul dan menjamu selera dalam kumpulan lebih besar - sehingga lapan orang - berbanding lima orang yang dibenarkan sebelum ini.
Sukan berpasukan seperti bola sepak dan sepak takraw juga dibenarkan berlangsung semula di padang dan gelanggang sementara majlis persandingan kini boleh menampilkan persembahan muzik secara langsung.
Namun, kelonggaran tersebut bukan 'lampu hijau' bagi warga berseronok sewenang-wenangnya.
Orang ramai mesti terus berhati-hati dan mengikuti langkah keselamatan kesihatan yang ditetapkan kerana perjuangan menentang pandemik Covid-19 masih belum dimenangi, kata Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
"Walaupun kita mahukan semuanya kembali normal seperti sediakala, kita mesti masih berhati-hati dalam situasi sekarang ini.
"Kita mesti menjaga dan mematuhi langkah-langkah dan garis panduan yang ada.
"Semua perkara yang kini sudah biasa kita lakukan seperti memakai pelitup, menjaga kebersihan diri, jaga jarak selamat, kita harus teruskan dan terus mengajar dan mengingatkan anak-anak dan anggota keluarga kita untuk melakukan yang sama," ujar Cik Rahayu semasa dihubungi Berita Harian (BH).
Menambah, beliau berkata strategi vaksinasi sudah dilakar tetapi masa diperlukan sebelum semua warga dapat diberi vaksinasi tersebut.
"Meskipun kita sudah membuat pengaturan bagi vaksin, ia akan mengambil sedikit masa sebelum semua orang mendapatkan pemvaksinan tersebut, jadi kita mesti masih berhati-hati.
"Kita juga sudah melihat gelombang kedua, ketiga yang berlaku di negara lain. Kita mesti berwaspada kerana jika ia boleh berlaku kepada mereka, ia boleh berlaku kepada kita juga.
"Malah, sekarang pun kita sudah tahu tentang varian baru Covid-19, jadi penting untuk kita terus berjaga-jaga," kata beliau.
Sikap terus berjaga-jaga walau negara memasuki Fasa Tiga juga ketara dalam kalangan pemilik perniagaan dan penyedia khidmat yang dihubungi BH.
Ketua kumpulan kompang Percussionz By Makyong Kedek, Encik Hirman Ramlee, 42 tahun, mengalu-alukan kelonggaran sekatan.
Pun begitu, beliau akur langkah-langkah keselamatan tambahan mesti ada di kalangan mereka yang bakal membuat persembahan.
Pada Fasa Tiga, persembahan yang melibatan alat muzik - kecuali alat muzik tiupan - dibenarkan semula bagi acara perkahwinan atau kematian.
"Norma baru ini diiringi amalan dan syarat yang baru... semuanya berubah dan akan berlainan. Buat masa ini kami sudah pun mula memaklumkan kepada anggota kami mengenai beberapa langkah yang perlu diambil melalui WhatsApp.
"Apabila kami berjumpa secara fizikal untuk persembahan pertama kami pada hujung Januari nanti, kami akan melakukan taklimat untuk memberitahu mereka mengenai apa yang boleh dilakukan semasa majlis sekali lagi," jelas Encik Hirman.
Restoran Positano@RP di Circular Road pula telah melakukan beberapa perubahan kecil bagi menampung lebih ramai pelanggan semasa Fasa Tiga, kata pemilik bersama restoran tersebut, Encik Muhammad Ishak Ahmad.
"Kami telah sediakan meja dan kerusi tambahan, dan susun atur baru untuk menampung kumpulan yang lebih besar tapi pada masa yang sama memastikan ia tetap selesa dan menjaga jarak selamat.
"Kami hanya dapat menambah sekitar empat hingga enam tempat tambahan, tak banyak sangat kerana kami mahu menjaga jarak selamat satu meter antara meja dan kumpulan berbeza."
Seorang pelanggan, Encik Sheikh Ahmad Rifa'i Munir Bahashwan, 36 tahun yang berada di restoran itu semalam untuk menyambut hari lahir bersama kumpulan lapan orang, berkata beliau gembira kerana dapat makan luar bersama kumpulan lebih besar, tetapi berharap semua pihak mematuhi langkah pengurusan selamat.
TERUS PATUHI LANGKAH SELAMAT
"Walaupun kita mahukan semuanya kembali normal seperti sediakala, kita mesti masih berhati-hati dalam situasi sekarang ini. Kita mesti menjaga dan mematuhi langkah-langkah dan garis panduan yang ada. Semua perkara yang kini sudah biasa kita lakukan seperti memakai pelitup, menjaga kebersihan diri, jaga jarak selamat, kita harus teruskan dan terus mengajar dan mengingatkan anak-anak dan ahli keluarga kita untuk melakukan yang sama." - Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
SEKILAS FASA 3


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg