Acara tahunan Festival Malaysia kembali diadakan pada 2024 dengan penyertaan peniaga Malaysia terbesar dalam sejarah.
Festival itu berlangsung di Singapore Expo dewan 5A dan 5B mulai 25 Julai hingga Ahad 28 Julai, 10 pagi hingga 10 malam.
Terdapat sebanyak 302 reruai – bilangan tertinggi yang tercatat sejak ia kali pertama diadakan pada 2016 – dengan sebahagian besarnya menampilkan tarikan pelancongan dan makanan, sekali gus menonjolkan negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Festival anjuran MegaXpress International atas sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Malaysia itu bertujuan memperkenal produk jenama Malaysia dan buah-buahan tempatan kepada pembeli Singapura selain fesyen dan kecantikan.
Kira-kira 20 metrik tan buah-buahan bermusim serta yang jarang didapati di Singapura, seperti longan kristal, tarap, bambangan dan cempedak durian akan dibawa masuk untuk pelanggan Singapura.
Pengerusi Fama, Encik Aminuddin Zulkipli, berkata ini merupakan sebahagian usaha Fama untuk memperluas dan mempromosikan semua produk pertanian dari Malaysia bagi meningkatkan nilai eksport usahawan terutamanya di bawah bimbingan Fama.
Mereka yang berkunjung akan dapat juga berhibur dan bertemu selebriti popular termasuk Siti Nordiana, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Elly Mazlein.
Bercakap kepada media ketika majlis prapelancaran festival itu pada 9 Julai, pengarah urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah, berkata sambutan warga Singapura terhadap festival itu menggalakkan dengan penjualan semakin meningkat tahun ke tahun.
“Hobi warga Singapura adalah makan dan wisata. Itu yang melonjakkan hasil pungutan penjualan,” tambahnya.
Pembaharuan yang diperkenalkan pada Festival Malaysia 2024 ialah kaedah bayaran tanpa tunai atas kerjasama PayNet di bawah program rentas sempadan ‘Cashless Lah Boss’.
Bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai tersebut, PayNet akan menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung dan peniaga berupa wang tunai, pakej percutian ke Malaysia dan barangan elektronik dengan nilai keseluruhan sebanyak $10,000.
Untuk menyertai cabutan bertuah, pengunjung hanya perlu membuat pembelian menggunakan kod QR DuitNow dengan nilai serendah $20.
Pada 2024, festival itu menyasarkan untuk menerima 120,000 pengunjung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg