Batik bukan sekadar kain yang dipakai pada majlis istimewa, malah merupakan warisan hidup yang terus diwarisi dan dihargai daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Itulah yang ingin diketengahkan pengasas Baju by Oniatta dan Galeri Tokokita, Cik Oniatta Effendi, menerusi festival tiga hari, Worn. Made. Shared., yang berlangsung hingga 4 Oktober di Kampong Gelam.

Disokong Taman Warisan Melayu (TWM), festival itu menghimpunkan penggiat batik, pereka, seniman dan perniagaan di sekitar Kampong Gelam untuk mendekatkan masyarakat kepada batik.

Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata kerjasama itu sejajar dengan usaha TWM membawa programnya melangkaui kawasan taman warisan tersebut sejak ia dibuka semula pada April.

“Kami melihat peluang untuk mengetengahkan batik sebagai satu bentuk warisan hidup yang terus dibuat, dipakai, dikongsi dan berkembang dalam masyarakat Melayu Singapura dan juga di luarnya,” katanya.

Beg kanvas dan Batik Passport yang membawa pengunjung menyusuri beberapa lokasi di Kampong Gelam sambil mengenali motif dan warisan batik. Laluan itu merupakan antara kegiatan Worn. Made. Shared. yang menghubungkan pengunjung dengan perniagaan dan ruang budaya di kawasan tersebut.
Beg kanvas dan Batik Passport yang membawa pengunjung menyusuri beberapa lokasi di Kampong Gelam sambil mengenali motif dan warisan batik. Laluan itu merupakan antara kegiatan Worn. Made. Shared. yang menghubungkan pengunjung dengan perniagaan dan ruang budaya di kawasan tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Antara perniagaan yang terlibat ialah Wardah Books, Tarik dan All Things Delicious.

Menerusi Batik Passport, pengunjung boleh meneroka Kampong Gelam sambil mengenali motif batik, manakala Batik Clinic membolehkan mereka membawa kain batik sendiri untuk diteliti dengan lebih dekat.

Cik Oniatta di toko buku Wardah Books, salah satu lokasi dalam laluan Batik Passport. Kedai buku itu turut menganjurkan Batik Reading Room sempena Indie Bookshop Day, yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali batik menerusi buku dan pembacaan.
Cik Oniatta di toko buku Wardah Books, salah satu lokasi dalam laluan Batik Passport. Kedai buku itu turut menganjurkan Batik Reading Room sempena Indie Bookshop Day, yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali batik menerusi buku dan pembacaan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Oniatta, yang sudah sedekad bekerja dengan batik dan pembuatnya di rantau ini, berkata pemahaman terhadap batik perlu melangkaui rupa dan motifnya.

“Kalau kita hanya melihat motif atau warnanya, batik boleh menjadi sekadar hiasan.

“Namun apabila kita memahami proses pembuatannya, ia menjadi satu bahasa,” katanya.

Menurutnya, jika pengetahuan tentang cara batik dihasilkan hilang, masyarakat hanya mempunyai kain tanpa pengetahuan hidup yang memberikan makna kepadanya.

“Warisan tidak boleh terus hidup jika hanya diletakkan di sebalik kaca.

“Kalau kita mahu batik kekal bermakna, orang ramai perlu terus membuatnya, memakainya, bercakap mengenainya dan mencari hubungan dengannya,” katanya.

Beliau juga melihat golongan muda semakin tertarik untuk menggayakan batik dengan cara yang pelbagai, termasuk memadankannya dengan kasut sneakers dan potongan kontemporari.

“Kalau kita tidak berinovasi, orang tidak mahu pakai.

“Kita mahu golongan muda tertarik dengan siluet tradisional dan tekstil tradisional juga,” katanya.

Encik Ika Zahri Sarkasi, anak mendiang seniman batik Allahyarham Sarkasi Said, memberi kain batik cap yang dihasilkan menggunakan teknik cap. Kain yang disumbangkan untuk Worn Through Life turut diolah Cik Oniatta dalam rekaan tradisional, termasuk baju kurung dan pesak gantung, untuk digayakan dalam persembahan fesyen warga emas.
Encik Ika Zahri Sarkasi, anak mendiang seniman batik Allahyarham Sarkasi Said, memberi kain batik cap yang dihasilkan menggunakan teknik cap. Kain yang disumbangkan untuk Worn Through Life turut diolah Cik Oniatta dalam rekaan tradisional, termasuk baju kurung dan pesak gantung, untuk digayakan dalam persembahan fesyen warga emas. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Turut diadakan ialah pameran ‘Jejak’, yang mengetengahkan karya Allahyarham Sarkasi Said serta penyelidikan dan amalan batik Cik Fathiah A’busaamad dari institusi pendidikan seni terkemuka, The King's Foundation School of Traditional Arts di London.

Menurut Cik Fathiah, melestarikan batik bukan sekadar memelihara kain dan teknik pembuatannya.

“Pemeliharaan bermakna melindungi bukan sahaja kain dan tekniknya, tetapi juga cerita, pengetahuan dan nilai di sebaliknya.

“Warisan perlu diturunkan, bukan sekadar disimpan,” katanya.

Festival itu akan ditutup dengan Worn Through Life, sebuah persembahan fesyen yang meletakkan warga emas sebagai tumpuan.

Bagi Cik Oniatta, pemilihan warga emas membawa makna lebih mendalam kerana batik menemani masyarakat sepanjang perjalanan hidup.

“Kita perlu ingat bahawa batik bersama kita sejak lahir hingga ke penghujung hayat.

“Ia juga kain yang menutupi jasad kita apabila kita meninggal dunia.

“Jadi, apabila seseorang menghampiri penghujung hidupnya, mengapa kita tidak meraikan mereka dan kecantikan mereka sebagai orang tua?” katanya.

Cik Fathiah pula berkata perkara yang lebih membimbangkannya adalah jika masyarakat berhenti memakai batik.

“Batik ialah tradisi hidup.

“Untuk terus bertahan, ia perlu kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita,” katanya.

Tambah Cik Fathiah:

“Walaupun seseorang belum memahami sepenuhnya kraf atau simbol di sebaliknya, dengan memakainya, batik terus kelihatan, relevan dan dapat dihubungkan kepada generasi seterusnya.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti