FILEM kontroversi berbahasa Hindi yang dikeluarkan di India Mac lalu dilarang ditayang di Singapura kerana ia berpotensi menimbulkan perselisihan antara masyarakat yang berbeza dan mengganggu keharmonian agama di sini.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang mengklasifikasikan filem, berkata ia telah menilai The Kashmir Files dengan berunding bersama Kementerian Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia (MCCY) serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan mendapati filem itu berada di luar garis panduan klasifikasi filem itu.

"Filem itu tidak akan diberi klasifikasi kerana provokasi dan penggambaran berat sebelah terhadap umat Islam dan gambaran penganut Hindu dianiaya dalam konflik yang sedang berlaku di Kashmir," kata agensi itu kepada The Straits Times dalam satu kenyataan bersama.

"Gambaran ini berpotensi menimbulkan perselisihan antara masyarakat yang berbeza, dan mengganggu perpaduan sosial dan keharmonian agama dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," kata agensi itu.

Di bawah Garis Panduan Klasifikasi Filem, sebarang bahan yang memburukkan masyarakat, kaum atau agama di Singapura tidak akan diberi klasifikasi, tambah mereka.

Filem yang ditolak tidak boleh dijual, disewa, dimiliki, diimport atau ditunjukkan kepada awam di negara ini.

The Kashmir Files menceritakan penghijrahan orang Hindu dari Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam pada 1990-an, dan plotnya mengikuti kisah fiksyen seorang pelajar universiti yang mendapati ibu bapanya dibunuh oleh golongan militan.

Filem itu, diarah oleh pengarah veteran India Vivek Agnihotri, menjadi salah satu filem dengan kutipan box-office teratas India tahun ini, dan mendapat sokongan daripada pemimpin pemerintah India.