Peguam dan Penasihat Kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Ahmad Firdaus Daud, akan mengendalikan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) mingguan mulai 7 September, dengan sokongan seorang Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Bagi sesi pertama di kawasan undi Kembangan itu, beliau akan mengendalikannya dengan sokongan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming atau Cik Diana Pang.

Demikian didedahkan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, yang juga AP bagi GRC itu, kepada Berita Harian (BH) pada 1 September.

Encik Firdaus mengambil alih tanggungjawab di GRO GRC Marine Parade-Braddell Heights sebagai penasihat kedua dan telah memulakan tugas itu sejak 1 September.

Sesi MPS tersebut, yang berlangsung pada setiap Isnin kecuali Isnin kelima, sebelum ini dikendalikan oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebelum peletakan jawatannya pada 20 Julai.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama BH, Encik Seah berkata:

“Firdaus akan menghadiri sesi MPS Kembangan mulai Isnin hadapan dan beliau akan ditemani salah seorang daripada kami (AP).

“Encik Goh atau Cik Pang akan sokong Encik Firdaus kerana sesi MPS mereka berdua jatuh pada Selasa, jadi tiada percanggahan manakala sesi MPS saya dan Cik Tin pula jatuh pada Isnin.”

Encik Seah mengendalikan MPS setiap Isnin bagi kawasan undi Braddell Heights; Cik Pang pada Selasa pertama dan ketiga bagi kawasan undi Geylang Serai; Cik Tin Pei Ling mengendalikan sesi itu pada Isnin pertama dan kedua bagi kawasan undi MacPherson; manakala Encik Goh pula mengendalikan sesi itu pada setiap Selasa untuk kawasan undi Marine Parade.

Encik Seah berkongsi pencarian bagi calon sesuai untuk membantu di kawasan undi Kembangan telah bermula dengan serta-merta berikutan pengunduran Dr Faishal pada 20 Julai.

“Pencarian calon bagi kawasan undi Kembangan bermula sejak 20 Julai dan dari segi garis masa saya rasa jika kami dapat menemukan calon sesuai dengan lebih cepat, itu adalah lebih baik” ujar Encik Seah.

Justeru, beliau meminta pandangan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad. Hasil daripada perbincangan dengan mereka, Encik Seah mendapati Encik Firdaus, peguam terlatih dan mantan penasihat kedua pertubuhan akar umbi di Punggol, sebagai pilihan terbaik.

Mencari anggota baharu bagi kawasan undi Kembangan adalah penting, jelas Encik Seah, bagi memastikan komitmen pasukannya terhadap GRC Marine Parade-Braddell Heights tetap dapat dikekalkan.

“Kepada para penduduk, kami ingin memberi jaminan bahawa semua ini tidak akan berubah.

“Apa yang telah kami janjikan dan apa yang kami komited untuk lakukan, kami akan pastikan ia ditunaikan.

“Dalam hal ini, saya rasa segala-galanya berjalan mengikut perancangan,” ujarnya.

Apabila diminta mengulas tentang tanggungjawab penasihat akar umbi, terutamanya peranan Encik Firdaus, Encik Seah berkata:

“Bagi semua penasihat, saya fikir satu perkara utama yang kita lakukan apabila bekerja dengan pemimpin akar umbi ialah mengeratkan hubungan dalam masyarakat.

“Salah satu tugas yang sangat penting ialah bekerjasama dengan pemimpin akar umbi untuk memastikan masyarakat di kawasan tersebut sentiasa bersatu, dengan adanya perpaduan dan keharmonian.

“Selain itu, tugas penting lain para penasihat ialah bekerjasama dengan pemimpin akar umbi untuk menerangkan dasar-dasar pemerintah.”

Penasihat akar umbi ialah individu yang dilantik oleh Persatuan Rakyat (PA), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Peranan ini berbeza daripada AP – iaitu satu jawatan politik yang dipilih melalui pilihan raya.

Encik Firdaus telah turun ke padang pada hari pertamanya bersama Encik Seah serta pasukan sukarelawan dan wakil pelbagai agensi bagi satu lawatan rumah ke rumah di kawasan Kembangan.

Ketika mengunjungi Blok 301 Ubi Avenue 1, Encik Seah diperhatikan memimpin perbualan bersama penduduk, bertanya khabar dan meminta maklum balas.

Namun, ketika bertemu penduduk Melayu/Islam, Encik Firdaus telah tampil ke hadapan.

Penduduk yang ditemuinya dilihat dalam keadaan selesa dan bersifat terbuka dalam perkongsian mereka mengenai isu-isu yang mereka hadapi seperti keselamatan, aduan bunyi bising dan isu perbandaran.

Salah seorang penduduk yang beliau temui, Cik Haidah Ahmad, 51 tahun, berkata:

“Saya kurang kenal dengan Encik Firdaus tetapi setelah pertemuan pertama tadi beliau nampak baik orangnya... saya harap beliau dapat sering ke Kembangan untuk dengar dan bantu kami di sini.”

Cik Haidah telah menetap di Kembangan bersama suaminya, Encik Hissam Abdul Rahim, 57 tahun, dan anak mereka Muhammad Adib Ibad Hissam, 13 tahun, sejak 2011.