Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma binaan digesa laksana tempoh rehat keselamatan ekoran kenaikan kes kematian

Perlu beri tumpuan kepada tiga aspek keselamatan pekerjaan yang dikenal pasti
Nov 7, 2024 | 4:29 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri), melawat tapak binaan Seah Construction di Ang Mo Kio Avenue 5 pada 7 November.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri), melawat tapak binaan Seah Construction di Ang Mo Kio Avenue 5 pada 7 November. - Foto ST

Pihak berkuasa menggalakkan firma binaan melaksanakan tempoh rehat keselamatan, atau ‘safety timeout’, dari 8 hingga 22 November, berikutan peningkatan dua kali ganda kes kematian di tempat kerja dalam sektor itu antara Julai dan Oktober berbanding separuh pertama 2024.

Tempoh rehat keselamatan itu perlu memberi tumpuan kepada aspek-aspek pekerjaan yang menjadi isu keselamatan dan telah dikenal pasti berdasarkan insiden kematian di tapak binaan sebelum ini.

Tiga aspek itu ialah aktiviti mengangkat dan memasang yang selamat; objek jatuh yang boleh terkena pekerja; dan keselamatan kenderaan.

Pihak pengurusan kanan harus berinteraksi dengan pasukan dan pekerja di tapak binaan, menyemak protokol keselamatan, dan menangani isu keselamatan yang dihadapi mereka sebagai sebahagian daripada pelan tindakan semasa tempoh rehat keselamatan dijalankan.

Agensi pemerintah akan ‘memimpin melalui teladan’ dengan menggesa kontraktor mereka menguatkuasakan tempoh rehat keselamatan di tapak binaan sektor awam, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Sepanjang tempoh empat bulan, dari Julai hingga Oktober, 10 pekerja binaan menemui maut, berbanding lima kematian yang dicatatkan dalam enam bulan pertama 2024, lapor The Straits Times (ST).

Angka tersebut menunjukkan bahawa industri binaan kurang menitikberatkan aspek Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), kata MOM pada 7 November.

MOM menambah bahawa menjelang musim perayaan, “adalah penting bagi sektor ini terus berwaspada dan memastikan piawaian keselamatan terpelihara kerana syarikat mungkin terburu-buru untuk menepati tarikh akhir sebelum pekerja pulang bercuti.”

“Memandangkan (industri binaan) mula alpa, adalah penting kita menanganinya… sebelum ia berlarutan... Pastinya, tempoh rehat keselamatan ini dapat membantu kita menyampaikan mesej, meningkatkan kesedaran, dan memperbaharui komitmen (terhadap keselamatan),” kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pada 7 November. 

“Ini adalah masa refleksi bagi ramai pekerja dan pengendali kita, kerana saya rasa penting untuk kita menilai semula kekurangan (dalam amalan keselamatan), kejadian hampir berlaku kemalangan, dan membuat penilaian risiko,” kata Encik Zaqy semasa melawat tapak binaan Seah Construction di Ang Mo Kio Avenue 5.

Pelaksanaan tempoh rehat keselamatan itu digesa oleh pasukan bertindak WSH berbilang agensi, terdiri daripada MOM, Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kesihatan (MOH), bersama-sama dengan pergerakan pekerja dan jawatankuasa industri Majlis WSH.

Pada separuh pertama 2024, 19 pekerja maut semasa bekerja berbanding 14 kematian yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

Sektor binaan, marin, pengangkutan, penyimpanan dan pengilangan menyumbang 63 peratus daripada jumlah kematian itu, dengan industri binaan menyumbang jumlah kematian tertinggi.

Walaupun kadar kematian keseluruhan di tempat kerja kekal rendah, iaitu satu kematian bagi setiap 100,000 pekerja, MOM tetap prihatin terhadap prestasi sektor binaan baru-baru ini.

Justeru, MOM telah meningkatkan pemeriksaan dalam sektor berisiko tinggi seperti sektor binaan yang merekodkan keseluruhan 31 insiden berbahaya dan membawa maut dari Januari hingga Jun 2024 – meningkat daripada 28 insiden pada 2023.

Pihak berkuasa telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk menangani isu ini, termasuk memberi ganjaran kepada kontraktor dan subkontraktor yang membangunkan usaha dan dana bagi penambahbaikan amalan WSH.

Pada 2017, Singapura telah menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar kematian di tempat kerja kepada kurang daripada satu kes bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2028. Sasaran ini dicapai pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg