Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma didenda $41,500 rosak paip air utama

Jun 2, 2021 | 5:30 AM
DIDENDA: Tong Shing Contractors merosakkan paip air utama semasa menjalankan kerja di Admiralty Road West hingga menyebabkan pembaziran banyak air dan menjejas tiga lorong jalan raya pada Disember 2018. - Foto PUB
DIDENDA: Tong Shing Contractors merosakkan paip air utama semasa menjalankan kerja di Admiralty Road West hingga menyebabkan pembaziran banyak air dan menjejas tiga lorong jalan raya pada Disember 2018. - Foto PUB -

FIRMA Tong Shing Contractors didenda $41,500 kerana merosakkan satu paip air utama dan menjalankan kerja tanpa kelulusan daripada agensi air Singapura PUB.

Menerusi satu kenyataan semalam, PUB berkata kerosakan pada paip air itu menyebabkan kehilangan sebanyak 1.8 juta liter air, yang boleh mengisi hingga dua pertiga kolam renang saiz Olimpik.

Kebocoran air itu juga menjejas tiga lorong jalan raya di Admiralty Road West dekat simpang Dahan Road apabila kejadian itu berlaku pada Disember 2018.

Tong Shing sedang menjalankan kerja pembicuan paip sebagai sebahagian projek meluaskan jalan raya apabila mesin pembicuan paip yang digunakan merosakkan paip air utama berukuran garis pusat 70 sentimeter, yang terletak 3.7 meter di bawah permukaan jalan raya.

PUB menemui lubang dengan garis pusat 30 sentimeter pada paip air utama apabila pegawainya turun padang ke tempat kejadian untuk mengasingkan kebocoran itu dan memperbaiki kerosakannya.

Siasatan PUB mendapati bahawa Tong Shing gagal menentukan secara fizikal lokasi dan penjajaran tepat paip air utama itu sebelum memulakan kerja.

Tong Shing juga memulakan kerja pembicuan paip tanpa mengemukakan rancangan mereka untuk melakukan demikian bagi mendapatkan kelulusan PUB.

PUB mengingatkan kontraktor bahawa mereka memandang serius kerosakan pada paip air utama dan pembaziran air yang boleh dielak sekiranya usaha wajar diambil.

"Kontraktor harus selalu merujuk kepada nasihat PUB tentang langkah mencegah kerosakan prasarana paip air sebelum menjalankan sebarang kerja binaan," kata PUB.

Di bawah Akta Utiliti Awam, mereka yang merosakkan paip air utama atau paip penghubung dengan garis pusat 30 sentimeter atau lebih boleh didenda hingga $200,000, dihukum penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kontraktor yang menjalankan kerja dekat paip air utama tanpa rancangan yang diluluskan boleh didenda hingga $10,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg