Syarikat Singapura kini boleh memanfaatkan satu khidmat baru di New York yang dapat membantu mereka menebar sayap perniagaan ke pasaran Amerika Syarikat yang lebih luas.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong telah melancarkan nod Perikatan Inovasi Global (GIA) baru yang bertujuan membantu syarikat tempatan mencari gabungan pelabur, rakan kongsi niaga dan strategi pasaran yang sesuai untuk berjaya di Amerika.
Wadah GIA itu, yang diketuai Enterprise Singapore (EnterpriseSG), bukan sahaja menyokong rancangan pengembangan syarikat baru, malah ia juga penting bagi Singapura untuk terus meraih pendapatan baik sedang dunia memasuki fasa lebih bergelora, kata Encik Wong dalam ucapan ringkasnya selepas pelancaran itu di bandar New York.
Menurut Encik Wong, terdapat keterbatasan bagi syarikat pemula untuk berkembang dalam pasaran domestik kecil Singapura dengan hanya 5.9 juta orang, lapor The Straits Times.
“Itulah sebabnya syarikat pemula yang berpangkalan di Singapura perlu meneroka ke luar negara.
“Tiada tempat lebih baik untuk dikunjungi selain di sini,” tambahnya sambil menarik perhatian kepada ekonomi besar dan pelbagai bakat, kepakaran dan modal yang menjadikan bandar New York magnet yang menarik pelbagai syarikat pemula dari seluruh dunia.
Ekosistem bagi syarikat pemula di bandar itu yang menempatkan lebih 25,000 usaha niaga teknologi, bernilai hampir AS$147 bilion ($200 bilion).
Nod GIA di bandar New York adalah nod kedua EnterpriseSG di Amerika. Nod GIA pertama dilancarkan di San Francisco pada 2019.
Terdapat 17 nod lain di seluruh dunia, termasuk di Abu Dhabi, Berlin, London, Mumbai dan Shanghai.
“Ia akan membantu merangsang kerjasama antara Bandar New York dengan Singapura, dan merapatkan dua ekosistem syarikat pemula kita,” kata Encik Wong, sambil menambah Bandar New York dan Singapura sudah pun menikmati hubungan erat antara penduduknya.
“Semua ini menyediakan asas kukuh di mana kita boleh memperdalam hubungan kita dan meluaskan kemungkinan yang terbuka kepada kita dari segi ekonomi,” tambahnya, sambil menyifatkan inisiatif sedemikian sebagai kritikal untuk kemakmuran berterusan Singapura.”
Menurutnya, era globalisasi yang baik sudah berakhir. Ini kerana kita kini berada dalam dunia dengan persaingan kuasa besar. Dunia juga akan menjadi lebih berpecah-belah, tidak menentu dan sentiasa bergolak, jelasnya.
“Dalam persekitaran sedemikian, sesetengah negara lebih suka berundur dan memberi tumpuan kepada apa yang mereka dapat lakukan dalam sempadan mereka sendiri.”
Satu-satunya pilihan bagi Singapura yang hanya “titik merah kecil”, ialah menggandakan usaha untuk berhubung dengan lebih baik dengan dunia, tambah Encik Wong.
Namun, disebabkan saiz Singapura yang kecil, ia boleh menjadi tangkas dan lincah, serta bergerak pantas untuk merebut peluang dan terus meneroka cara menambah nilai kepada rakan kongsi dan pihak berkepentingan kita, tambah beliau.
“Melalui wadah seperti Perikatan Inovasi Global dan perkongsian lebih kukuh dengan pihak berlainan di seluruh dunia, kita boleh terus meraih pendapatan yang baik,” katanya.
Syarikat boleh terus berkembang maju walaupun dalam persekitaran baru ini.
Encik Wong, yang kini mengadakan lawatan kerja ke Amerika dari 5 hingga 15 Oktober, menyatakan usaha Singapura dalam ekosistem inovasi dan syarikat pemula sudah pun membuahkan hasil.
Syarikat teknologi baru yang berpangkalan di Singapura mengumpulkan hampir AS$11 bilion pada 2022, peningkatan lebih 40 peratus berbanding yang terkumpul pada 2019, sebelum pandemik Covid-19.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg