Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma runding cara niaga ingin tembusi pasaran Melayu/Islam 

Jul 29, 2024 | 5:30 AM
Encik Sirajudeen Syed Mohamed (kiri) berbincang bersama kakitangannya, Encik Muhamed Haris dan Cik Joy Valbaraz (kanan).
Encik Sirajudeen Syed Mohamed (kiri) berbincang bersama kakitangannya, Encik Muhamed Haris dan Cik Joy Valbaraz (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah lama bertapak menyediakan khidmat runding cara perniagaan bagi syarikat-syarikat milik masyarakat India di Singapura, sebuah syarikat tempatan, Royal Kings Consultancy Pte Ltd, kini ingin menebarkan ‘sayap’ menembusi pasaran perniagaan Melayu/Islam di sini.

Syarikat itu ingin membantu dari segi menyediakan khidmat nasihat, pembentukan syarikat hinggalah kepada pendaftaran.

Ia juga dapat menyediakan khidmat mengemas kini rekod pengurusan dan perubahan pada struktur serta prestasi syarikat.

Ini khusus bagi membantu syarikat mematuhi tadbir urus dan piawaian korporat dengan berkesan, memfailkan penyata tahunan serta pelbagai perkhidmatan lain.

Ini dinyatakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Royal Kings Pte Ltd serta Royal Kings Consultancy Pte Ltd, Encik Sirajudeen Syed Mohamed dalam temu bual dengan Berita Harian (BH).

Syarikat Royal Kings Consultancy ditubuhkan pada 2019 dan telah membantu banyak firma dari dalam dan luar negara.

Mereka kini mempunyai dua pejabat di sini yang terletak di Collyer Quay dan Ubi Techpark, dan mempunyai seramai 20 kakitangan bersamanya di Hong Kong, Indonesia, dan Singapura.

Syarikat di Hong Kong telah ditubuhkan pada Januari 2024, manakala di Indonesia pula pada Jun 2024.

“Tumpuan kami terhadap syarikat Melayu/Islam adalah disebabkan pemahaman mendalam tentang budaya dan amalan perniagaan yang unik dalam komuniti ini.

“Dengan pengkhususan dalam bidang ini, kami berhasrat untuk menyediakan huraian yang sesuai dengan nilai dan keperluan mereka, memupuk hubungan perniagaan yang lebih kukuh dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi dalam masyarakat,” jelas Encik Sirajudeen

Menurut Pengarah Royal Kings Pte Ltd, Cik Joy Valbaraz, antara syarikat yang telah menggunakan perkhidmatan Royal Kings Consultancy ialah Shepherds SG LLP dan Zahid And Shah Grp Pte Ltd.

“Syarikat kami menawarkan pelbagai perkhidmatan perundingan, terutamanya memberi tumpuan kepada nasihat perniagaan. Di Royal Kings, kami menganggap pelanggan adalah nadi perniagaan kami.

“Oleh itu, kami menekankan nilai yang tinggi untuk membina hubungan yang kukuh dan berkekalan bersama klien kami.

“Selain itu, kami juga memastikan keperluan dan jangkaan mereka dipenuhi. Dengan pendekatan yang cekap ini, pasukan pakar kami, mampu memberikan bimbingan strategik yang berkesan dan sokongan profesional,” ujar Cik Valbaraz.

Mengenai perluasan perniagaan pada masa hadapan, Encik Sirajudeen memberitahu BH bahawa syarikatnya melihat potensi perniagaan yang baik di luar negara, dan akan terus berkembang dan menebarkan sayap ke negara Asia yang lain, seperti ke Malaysia dan India, selewatnya pada akhir 2024.

“Royal Kings Consultancy merancang untuk berkembang ke Malaysia dan India, dan pastinya kami akan meluaskan lagi jangkauan kami ke seluruh Asia Tenggara dan ke pasaran Asia Selatan.

“Memandangkan pasaran perniagaan yang mantap di Indonesia dan Hong Kong, kami yakin kami mempunyai kepakaran serta pemahaman yang baik tentang operasi perniagaan dalam persekitaran budaya dan memahami perbezaan serta keperluan perniagaan di rantau tersebut,” kongsi Encik Sirajudeen tentang misi syarikatnya.

Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dari Royal Kings Consultancy, Encik Muhamed Haris, pula berkata setiap perniagaan mempunyai cabaran tersendiri, tetapi dengan pelaksanaan yang teratur, semuanya boleh diatasi dengan baik.

“Perniagaan kepunyaan anak Melayu/Muslim di Singapura tentunya menghadapi pelbagai cabaran.

“Cabaran ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti cagaran terhad, taraf kredit yang lebih rendah atau kekurangan rangkaian atau network dengan institusi kewangan serantau.

“Namun semuanya mungkin boleh diatasi dengan persiapan dan perancangan yang berkesan, ilmu yang baik serta kesungguhan yang padu,” kata Encik Muhamed.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg