MENERUSKAN legasi yang ditinggalkan Allahyarham Ustaz Jalaluddin Hassan.

Berbekalkan hasrat tersebut, syarikat yang diasaskan Allahyarham, Jalaluddin Travel & Services, akan menganjurkan satu acara sempena Israk Mikraj.

Dijadualkan berlangsung lusa (Ahad, 27 Februari) di Masjid Darul Aman, acara yang bakal diisi dengan program berselawat, bacaan Al-Quran serta ceramah forum itu dijangka dapat menarik sehingga 400 jemaah.

Ia akan bermula seawal 10 pagi sehingga 1 petang.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah Eksekutif Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Abdul Rahim Ramlee, berkata acara tersebut dijangka dapat meneruskan usaha dakwah yang pernah dilakukan Allahyarham Ustaz Jalaluddin.

"Sebelum arwah meninggal dunia, memang beliau banyak terlibat dalam acara berdakwah.

"Ini termasuk semasa Ramadan, Israk dan Mikraj, serta Maulid Nabi.

"Arwah seorang pendakwah yang dikenali masyarakat Muslim setempat.

"Justeru, selepas pemergiannya, kami rasakan memang amat sesuai bagi kami teruskan legasi beliau ini yang penuh bermanfaat buat semua," katanya.

Ustaz Abdul Rahim menganggarkan sekitar 1,000 jemaah biasanya hadir ke acara yang dianjurkan pihaknya sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Namun, atas sebab jarak keselamatan, ia terpaksa dihadkan, meskipun tiada pendaftaran diperlukan bagi menyertainya.

Dalam acara tersebut, satu ceramah melibatkan tiga panelis akan membentangkan kisah di sebalik Israk Mikraj, apa yang berlaku di Baitulmakdis mengikut sejarah.

"Kali ini, kami ingin paparkan kisah sejarah di Baitulmakdis.

"Apatah lagi dengan banyak sekatan perjalanan masa kini akibat Covid-19, maka sesuai buat kami kongsi tentang tempat yang penuh sejarah Islam ini kepada masyarakat setempat.

"Jadi, mereka dapat bayangkan suasana di sana, dan dalami apa yang berlaku dalam sejarah," jelasnya lagi.

Malah lawatan berpandu ke Baitulmakdis sentiasa mendapat perhatian jemaah yang mengikuti rombongan umrah bersama Jalaluddin Travel & Services sejak sebelum wabak Covid-19 melanda, pimpinan Allahyarham Ustaz Jalaluddin sendiri.

Pada 14 Disember lalu, Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Jalaluddin Hassan, meninggal dunia di Makkah, Arab Saudi.

Allahyarham yang juga Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), dilaporkan mengadu sakit belakang pada sekitar 2 pagi.

Beliau dibawa ke klinik swasta AlBayt di Kompleks Menara Zam-zam tetapi klinik itu ditutup. Ustaz Jalaluddin rebah di sana.

Jenazahnya dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Asar dan dimakamkan di perkuburan Ma'la.