Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat baru gabung ciri mesra warga emas, khidmat jagaan

Kumpulan pertama Apartmen Penjagaan Masyarakat di Bukit Batok dilancar HDB Feb ini
Dec 11, 2020 | 5:30 AM
MESRA WARGA EMAS: Apartmen Penjagaan Masyarakat yang akan dilancarkan Februari nanti menggabungkan ciri flat mesra warga emas dengan rekaan terbuka dengan khidmat jagaan yang boleh disesuaikan dengan keperluan masing-masing. - Foto HDB
MESRA WARGA EMAS: Apartmen Penjagaan Masyarakat yang akan dilancarkan Februari nanti menggabungkan ciri flat mesra warga emas dengan rekaan terbuka dengan khidmat jagaan yang boleh disesuaikan dengan keperluan masing-masing. - Foto HDB -

WARGA emas berusia 65 tahun dan ke atas kini boleh menikmati satu pilihan perumahan baru yang menggabungkan ciri reka bentuk mesra warga emas serta khidmat jagaan yang boleh disesuaikan dengan keperluan masing-masing.

Dinamakan Apartmen Penjagaan Masyarakat, kumpulan pertama flat itu terletak di Bukit Batok West Avenue 9 dan sekitar 160 unit akan dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Februari nanti. Projek perumahan itu dijangka siap pada 2024.

Dibangunkan bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan HDB, konsep perumahan itu juga akan menyediakan khidmat dan program buat penduduk untuk mewujudkan interaksi sosial dan penyertaan yang bermakna di kalangan mereka.

Menerusi laman Facebook beliau semalam, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata projek perintis ini akan memperluas pilihan bagi warga emas yang memerlukan jagaan dan bantuan di dalam rumah namun masih boleh dan ingin terus tinggal di rumah sendiri.

"Kami telah menghasilkan ruang yang nyaman dan selesa bagi setiap unit dengan reka bentuk terbuka serta ciri dan kelengkapan mesra warga emas.

"Setiap tingkat juga mempunyai ruang yang boleh dikongsi bersama supaya penduduk dapat bertemu rakan mereka dan menjalin hubungan," ujar Encik Lee.

Menurut kenyataan bersama MND, MOH dan HDB semalam, setiap flat Apartmen Penjagaan Masyarakat di Bukit Batok itu seluas 32 meter persegi - atau kira-kira separuh daripada sebuah flat tiga bilik - dan dilengkapi dengan ciri mesra warga emas termasuk alat pemegang dan lantai yang tidak licin.

Flat itu juga akan dilengkapi dengan dapur, almari dan kabinet siap pasang untuk membolehkan warga emas berpindah masuk dengan cepat tanpa memerlukan banyak kerja ubah elok.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata ramai warga Singapura berkata mereka ingin terus tinggal di rumah sendiri sedang usia mereka meningkat seberapa lama boleh dengan sokongan keluarga dan teman.

"Bagi memenuhi aspirasi ini, kami sedang merintis satu model perumahan merangkap penjagaan baru bagi warga emas, dengan sokongan kesihatan dan sosial tambahan boleh disesuaikan mengikut keperluan untuk memberi warga emas dan penjaga mereka ketenangan minda sedang usia mereka meningkat," ujarnya.

Tambahnya, warga emas dan penjaga mereka juga dapat meraih manfaat daripada pelbagai khidmat sokongan sosial dan kesihatan yang ditawarkan dengan lebih baik, dengan bantuan pengurus masyarakat yang turut disediakan.

Di bawah pilihan perumahan ini, penduduk perlu mendapatkan Pakej Khidmat Asas yang antara lain membolehkan mereka menikmati khidmat pemantauan dan respons kecemasan 24 jam.

Pengurus masyarakat yang bertugas juga akan bantu hubungkan penduduk dengan khidmat jagaan yang relevan, membantu memperbaiki alat perumahan yang mudah serta menganjurkan kegiatan masyarakat.

Penduduk juga boleh mendapatkan khidmat tambahan termasuk khidmat kemas rumah, penghantaran makanan dan pengangkutan bagi tujuan perubatan dengan kos tambahan.

Pemohon serta pasangan mereka, jika ada, harus berusia 65 tahun dan ke atas. Mereka boleh memilih tempoh pajakan antara 15 dengan 35 tahun. Warga emas dengan keperluan penjagaan lebih tinggi akan diberi keutamaan.

Harga Apartmen Penjagaan Masyarakat di Bukit Batok - termasuk harga flat dan Pakej Khidmat Asas - bergantung pada tempoh pajakan yang dipilih pemohon dan sama ada pemohon membayar jumlah penuh Pakej Khidmat Asas atau secara bulanan sepanjang tempoh pajakan.

Misalnya, pemohon yang memilih tempoh pajakan 15 tahun dan ingin membayar jumlah penuh Pakej Khidmat Asas akan dikenakan $62,000 manakala mereka yang ingin membayar sebahagian Pakej Khidmat Asas dan kemudian membayar bakinya $50 setiap bulan pula akan dikenakan $53,000.

Pemohon yang memilih tempoh pajakan 35 tahun dan ingin membayar jumlah penuh Pakej Khidmat Asas akan dikenakan $124,000 manakala mereka yang ingin membayar sebahagian Pakej Khidmat Asas dan kemudian membayar bakinya $50 setiap bulan pula akan dikenakan $107,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg