Topik diikuti
Pergi ke BHkuFlat baru terima subsidi tinggi, harga tidak berdasarkan kos binaan
Flat baru terima subsidi tinggi, harga tidak berdasarkan kos binaan
BAGI memastikan flat-flat baru kekal dimampui, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memastikan flat-flat tersebut mendapat subsidi pemerintah yang tinggi dan harga bagi pelbagai jenis flat yang disediakan juga ditetapkan berdasarkan pendapatan keluarga di sini.
Menekankan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDB, Encik Tan Meng Dui, berkata harga flat HDB yang baru tidak ditetapkan berdasarkan kos pembangunan keseluruhan bagi projek Bina Ikut Tempahan (BTO), kos yang turut merangkumi kos pembinaan dan tanah.
Ini menurutnya, sejajar dengan komitmen HDB memastikan flat-flat BTO kekal dimampui para pembeli.
Berkata demikian kepada media, Encik Tan menerangkan bagi memastikan kemampuan kekal, flat-flat HDB diberi subsidi yang banyak dan harganya berdasarkan kemampuan, yang terdiri daripada pendapatan isi rumah dan harga pelbagai jenis flat yang ditawarkan HDB.
Tambahan lagi, HDB menggunakan geran-geran perumahan bagi para pemohon kali pertama yang layak, yang dianggap progresif dan memastikan mereka yang memerlukan menerima lebih bantuan.
"Maka harga yang dikenakan flat-flat baru HDB tidak berdasarkan kos-kos pembangunan keseluruhan bagi projek-projek BTO, yang terdiri daripada kos pembangunan dan tanah.
"Secara keseluruhannya, jumlah yang dikutip HDB hasil daripada jualan flat dalam setiap tahun kewangan (FY) adalah lebih rendah berbanding dengan kos-kos pembangunan keseluruhan yang dialami," katanya.
Pada tahun kewangan yang lalu (FY2021), HDB mengalami rekod defisit bersih mencecah $4.367 bilion.
Defisit tersebut adalah 86 peratus lebih tinggi berbanding defisit $2.346 bilion yang dialami pada FY2020.
Ini disebabkan subsidi bagi flat-flat baru dan pengagihan geran-geran perumahan; selain kerugian tinggi yang dialami dalam pembangunan serta jualan flat, kebanyakannya akibat lebih banyak unit yang memulakan pembangunan serta faktor berkaitan Covid-19.
Bagi memenuhi permintaan perumahan yang kukuh, HDB telah mempertingkatkan bekalan flat-flat BTO dan akan melancarkan sehingga 23,000 flat setahun pada tahun ini dan tahun depan.
Ini merupakan kenaikan ketara sebanyak 35 peratus berbanding 17,000 flat yang dilancarkan tahun lalu.
Dari segi bekalan flat di estet bukan matang, yang biasanya lebih dimampui, HDB jangkakan untuk melancar sejumlah 12,800 flat pada tahun ini - hampir 40 peratus lebih banyak berbanding tahun lalu.
Ini bermakna para pembeli berpotensi akan berupaya bukan sahaja untuk mendapatkan lebih banyak flat BTO di lebih banyak lokasi, tapi mereka juga boleh memilih daripada kelompok lebih besar bagi flat-flat yang dimampui.
"Kami akan terus memberi keutamaan kepada pembeli pertama bagi flat-flat BTO baru, memandangkan kami telah lakukannya dengan menambah kuota flat baru bagi pembeli kali pertama.
"Kami juga akan terus memantau pasaran dengan teliti, dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pasaran jualan semula yang lancar dan mampan," kata Encik Tan lagi.
Pada masa yang sama, jumlah projek BTO yang tergendala telah berkurangan daripada 80 peratus sekitar setahun lalu, kepada 50 peratus projek BTO yang sedang dibina.
"Kami telah mengurangkan masa menunggu median kepada empat hingga empat setengah tahun, daripada empat hingga lima tahun semasa pandemik sedang memuncak," tambahnya lagi.