Topic followed successfully
Go to BHkuFlat BTO Tengah rintis teknologi bangunan baru, pendekkan tempoh menunggu kepada 3.3 tahun
Flat BTO Tengah rintis teknologi bangunan baru, pendekkan tempoh menunggu kepada 3.3 tahun
Flat BTO Tengah rintis teknologi bangunan baru, pendekkan tempoh menunggu kepada 3.3 tahun
DUA projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan datang di estet Tengah akan merintis teknologi pembinaan seperti pencetakan konkrit 3D untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran bahan. Usaha itu boleh menetapkan piawaian bagi pembangunan BTO pada masa depan. Sebanyak 2,077 unit di Garden Waterfront I dan II@Tengah akan mempunyai salah satu daripada tempoh menunggu paling singkat. Dalam satu kenyataan pada Isnin (21 Nov), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan jangka masa menunggu bagi proses penjualan BTO pada 23 November ini adalah tiga tahun dan empat bulan. Pelancaran itu akan melancarkan hampir 10,000 flat di seluruh 10 projek. Tempoh menunggu lebih singkat itu adalah hasil teknologi pembinaan yang digunakan di kedua-dua tapak Tengah. HDB menyatakan ia dijangka menghasilkan peningkatan 25 peratus dalam produktiviti di tapak, berbanding dengan projek BTO lain. Tempoh menunggu bagi pembeli dapat dikurangkan kerana lebih banyak kawasan lantai boleh disiapkan dengan jumlah buruh yang sama. "Dengan sumber binaan sama, daya penghasilan yang lebih tinggi dapat mengurangkan masa pembinaan," tambah HDB. Kedua-dua projek di Tengah itu terdiri daripada 18 blok kediaman, dengan ketinggian antara sembilan dengan 16 tingkat. Ia akan menempatkan pelbagai jenis flat, daripada flat sewa hingga flat fleksi dua bilik hingga lima bilik. Dengan pelancaran Garden WaterFront I dan II@Tengah, hampir 17,000 unit akan ditawarkan di Tengah sejak projek BTO pertama pada November 2018. HDB menyatakan bahawa walaupun terdapat beberapa kelewatan berkaitan Covid-19, lebih 70 peratus daripada projek itu kini mempunyai tempoh menunggu selama empat tahun atau kurang. Estet Tengah adalah bandar HDB yang ke-24 di Singapura dan dianggap sebagai "bandar hutan" dengan pusat bandar bebas kereta. Bandar seluas 700 hektar itu, sekitar saiz Bishan, dianggarkan dapat menyediakan 30,000 unit perumahan awam dan 12,000 unit perumahan privet di lima daerah perumahan apabila ia siap dibina.

