Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat terbakar di Sengkang: Bomba tenangkan keluarga, selamatkan 3 kanak-kanak

Jul 22, 2023 | 5:34 PM
OPERASI BERJAYA: (Dari kiri) 3SG, Rafiqi Hilman; Staf Sarjan Ahmed Haliim Khan; Pegawai Waran 2 (WO2), Muhammad Himmi Ibrahim; komandar balai bomba, Mejar Othman Sharif; Leftenan Teo Kang Xiang; Korporal NSF Aaron Tay Hong Jun; 1SG NSF Christopher Kai Treloar. Mereka terbabit dalam operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran di satu flat di Sengkang pada Rabu.
OPERASI BERJAYA: (Dari kiri) 3SG, Rafiqi Hilman; Staf Sarjan Ahmed Haliim Khan; Pegawai Waran 2 (WO2), Muhammad Himmi Ibrahim; komandar balai bomba, Mejar Othman Sharif; Leftenan Teo Kang Xiang; Korporal NSF Aaron Tay Hong Jun; 1SG NSF Christopher Kai Treloar. Mereka terbabit dalam operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran di satu flat di Sengkang pada Rabu. - Foto ZAOBAO

Apabila anggota bomba memasuki flat yang sedang terbakar pada Rabu, mereka mengikuti suara jeritan meminta tolong untuk mengesan satu keluarga sedang bersembunyi di dalam bilik tidur di flat lima bilik mereka.

Seorang anggota bomba itu, Sarjan Ketiga (3SG) Rafiqi Hilman, 25 tahun, melihat sepasang suami isteri dan tiga anak mereka sedang berhimpit-himpit, tatkala api marak di dapur.

Melihat betapa takutnya mereka, beliau berlutut di depan anak perempuan mereka berusia 12 tahun dan budak lelaki berusia sembilan tahun dan memberitahu mereka bahawa beliau akan membawa mereka keluar daripada flat itu.

Sambil memegang gadis itu di tangan kanannya dan budak lelaki itu di tangan kirinya, beliau membawa mereka keluar dari flat itu ke tempat selamat.

Sarjan Rafiqi menceritakan pengalaman menyelamatkan keluarga itu semasa beliau dan rakan sepasukan dari balai bomba Sengkang diwawancara The Straits Times (ST).

Pada Rabu, kira-kira 2.45 pagi, satu kebakaran berlaku di satu unit tingkat empat di Blok 280B Sengkang East Avenue.

Siasatan awal menunjukkan ia berkemungkinan disebabkan kerosakan elektrik. Kira-kira 50 penduduk telah dipindahkan daripada bangunan itu.

Anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah berjaya memadamkan kebakaran dan menyelamatkan pasangan itu dan anak mereka daripada unit itu.

Apabila anggota bomba tiba di flat tersebut, mereka mendapati pintu pagar depan berkunci.

Komander seksyen, Sarjan Pertama (1SG) Christopher Kai Treloar, 19 tahun, seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF), menggunakan gergaji berkuasa tinggi untuk memecahkannya.

Sarjan Rafiqi meluru masuk dan terdengar jeritan meminta tolong. Beliau berkata: “Saya ikut suara jeritan itu dan sedar ia datang dari salah satu bilik tidur. Mereka semua berkerumun dekat tingkap dan menggigil ketakutan.”

Beliau berjaya meyakinkan mereka dengan suara tenang bahawa beliau akan menyelamatkan mereka.

Menyusuli itu, Sarjan Rafiqi membawa mereka berdua keluar dengan ibu mereka mengikut rapat di belakang.

Sementara itu, Staf Sarjan Ahmed Haliim Khan, 33 tahun, cuba menenangkan bapa yang cemas itu dan meyakinkannya supaya menyerahkan anak lelakinya yang berusia dua tahun.

Beliau kemudian membawa budak itu keluar daripada flat itu, dengan bapanya mengikut rapat di belakang.

Namun beliau menyedari lelaki itu sukar bernafas dan segera memberikan bekalan udara termampat peribadinya kepada lelaki itu di luar lobi lif.

Komander Balai Bomba – Mejar Othman Sharif, 31 tahun – berkata dalam tempoh 15 minit, keluarga itu dapat diselamatkan dengan api berjaya dikawal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg