Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FTA S’pura, Chile, Peru mula berkuat kuasa

MTI: Usaha hapus kebanyakan tarif ke atas barangan dagang
May 5, 2025 | 8:39 PM
Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA) melibatkan lima negara, akan berkuat kuasa untuk Colombia dan Mexico, sebaik sahaja kededua negara itu menyelesaikan proses memeterai perjanjian itu.
Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA) melibatkan lima negara, akan berkuat kuasa untuk Colombia dan Mexico, sebaik sahaja kededua negara itu menyelesaikan proses memeterai perjanjian itu. - Foto ST

Satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kini berkuat kuasa untuk Singapura, Chile dan Peru, tiga daripada lima negara rakan dagang dalam FTA Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA), menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), pada 5 Mei.

Perjanjian tersebut akan memberi syarikat Singapura akses lebih meluas kepada negara Perikatan Pasifik, merangkumi Chile, Colombia, Mexico dan Peru – yang secara bersama dianggap sebagai ekonomi kesembilan terbesar di dunia, dengan jumlah penduduk seramai 235 juta.

PASFTA tersebut ditandatangani pada 26 Januari 2022.

Singapura memeterai perjanjian itu pada Julai 2022 dan Peru pada Februari 2023.

Chile menandatangani perjanjian itu pada Mac 2025, sekali gus menjadikan PASFTA berkuat kuasa untuk ketiga-tiga negara itu terlebih dahulu.

PASFTA akan mula berkuat kuasa bagi Colombia dan Mexico, sebaik sahaja kededua negara itu menyelesaikan prosedur memeterai perjanjian tersebut, lapor The Straits Times.

Perjanjian perdagangan bebas itu akan menghapuskan kebanyakan tarif ke atas barangan yang diperdagangkan antara negara rakan dagang tersebut, dan meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam proses prosedur Kastam.

Pembekal perkhidmatan dan pelabur dari Singapura akan dilayan secara sama rata, seperti negara rakan dagang dari Perikatan Pasifik.

Selain itu, syarikat Singapura tidak akan diwajibkan melantik beberapa individu daripada warganegara tertentu bagi jawatan pengurusan kanan.

Empat negara Perikatan Pasifik tersebut mempunyai gabungan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) melebihi AS$2.7 trilion ($3.5 trilion) berdasarkan nilai nominal, membentuk sekitar 40 peratus daripada jumlah GDP bagi rantau Amerika Latin dan Caribbean, menurut Bank Dunia.

Singapura sudah pun menjadi rakan dagang FTA dengan Chile dan Mexico melalui Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) sedia ada, dan dengan Peru melalui CPTPP dan FTA dua hala Peru-Singapura.

MTI menyatakan jumlah dagangan dua hala Singapura dengan negara Perikatan Pasifik pada 2024 mencecah $12.5 bilion.

Antara produk utama yang diperdagangkan termasuk mesin elektrik, produk logam yang ditapis, produk koko dan makanan laut.

Sekitar 100 syarikat Singapura sudah pun beroperasi di pasaran negara Perikatan Pasifik, kebanyakannya dalam sektor seperti teknologi dan ekonomi digital, perdagangan makanan, prasarana, pengurusan pelabuhan dan logistik.

Syarikat Olam Food Ingredients (OFI) dari Singapura sudah lama bertapak dan menjadi pengeksport kopi terkemuka di pasaran tersebut.

Ia memperoleh biji kopi bermutu tinggi secara langsung daripada para petani di Colombia, Mexico dan Peru untuk pelanggannya di seluruh dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg