KUMPULAN 20 (G20) akan menubuhkan sebuah dana perantara kewangan baru yang akan menyokong inisiatif antarabangsa untuk mempersiap dunia bagi pandemik seterusnya, menyusuli pengajaran yang diraih daripada Covid-19, kata Menteri Kewangan Indonesia, Dr Sri Mulyani Indrawati.
Beliau berkata dana itu akan menjadi sebahagian daripada perancangan Indonesia - negara keempat paling ramai penduduk di dunia - untuk menyusun sebuah program persediaan dan respons pencegahan pandemik baru.
"Kami telah bersetuju untuk membentuk sebuah dana perantara kewangan, agar dunia (lebih bersedia) apabila satu lagi pandemik (melanda)," kata beliau.
Reuters melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia telah menganggarkan jurang tahunan dalam pembiayaan kesiapsiagaan pandemik ialah AS$10.5 bilion ($14.6 bilion), dan sebarang dana kesediaan perlu dibiayai sepanjang lima tahun, membayangkan permintaan AS$50 bilion.
Dr Sri Mulyani berkata demikian dalam semasa berucap kepada lebih 300 orang kenamaan, ahli akademik dan pemimpin perniagaan di Forum Perniagaan Indonesia-Singapura yang diadakan di Hotel Hilton Singapore Orchard semalam.
Forum itu, anjuran Kedutaan Indonesia di Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Indonesia, menampilkan sesi perbincangan mengenai topik seperti penjagaan kesihatan, transformasi digital dan kemampanan.
Dalam ucaptamanya, Dr Sri Mulyani berkata kajian menunjukkan Covid-19 bukan cabaran kesihatan terakhir yang akan dihadapi dunia, dan negara-negara mesti dapat menghadapi cabaran tersebut bersama.
"Kami memahami daripada semua kajian bahawa pandemik ini bukan yang terakhir, oleh itu keupayaan dunia untuk memberi respons secara berkesan dan pantas akan menjadi sangat penting agar dunia tidak mengalami situasi ini seperti dua tahun lalu," kata beliau.
Topik mengenai memperkukuh sistem penjagaan kesihatan sejagat antara tiga tunggak agenda Sidang Puncak Kumpulan 20 tahun ini. Indonesia presiden G20 bagi 2022.
Dua tunggak lain ialah transformasi digital dan peralihan tenaga.
G20 terdiri daripada Kesatuan Eropah (EU) dan 19 negara ekonomi industri dan memuncul terbesar di dunia. Sidang Puncak G20 akan diadakan di Bali November ini.
Dr Sri Mulyani juga berkata Indonesia telah berusaha bukan untuk memulihkan pertumbuhan selepas pandemik ini sahaja, malah pulih lebih kukuh dan lebih bersedia bagi cabaran masa depan.
"Kami bukan memulihkan pertumbuhan sahaja, kami mahu membina (pertumbuhan) lebih bermutu, terutamanya dalam modal insan dan sumber manusia.
"Itu sebabnya Indonesia menyediakan sumber... dalam pendidikan, namun juga lebih penting, (dalam) kesihatan," kata beliau.
Kelmarin, pegawai Indonesia memberi amaran bahawa negara itu dijangka mengalami kemuncak kes Covid-19 pada minggu kedua bulan depan, sebelum ia kemudian berkurangan hasil usaha vaksinasi berterusannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg