Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gabungan masjid Daerah Utara bantu isi dana naik taraf Darul Makmur

Nov 2, 2024 | 5:30 AM
Sekitar 1,000 anggota jemaah menghadiri acara maulidul rasul, ‘Maulid4All’, yang berlangsung di Masjid An-Nahdhah di Bishan pada 30 Oktober 2024.
Sekitar 1,000 anggota jemaah menghadiri acara maulidul rasul, ‘Maulid4All’, yang berlangsung di Masjid An-Nahdhah di Bishan pada 30 Oktober 2024. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Masjid Darul Makmur komited menjalankan pelbagai kegiatan bagi mendekatkan masjid kepada masyarakat dan pada masa yang sama, membawa masyarakat ke dalam masjid.

Usaha ini tetap dilakukan meskipun semasa projek peningkatan berjalan kini dengan kegiatan diteruskan di Masjid Assyafaah di Admiralty Lane dan solat Jumaat diadakan di ruang sementara di bekas Sekolah Menengah North View.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, menjelaskan:

“Antara tumpuan strategik masjid adalah memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat.

“Ini dapat dijadikan kenyataan dengan usaha pihak masjid bekerjasama dengan jemaah, pelbagai rakan kongsi dan pihak berkepentingan.”

Masjid sedang ditutup sepenuhnya sempena projek peningkatan, dan buat masa ini lebih 70 peratus kerja naik taraf telah selesai diljalankan.

Kos peningkatan sepenuhnya dianggarkan berjumlah $15 juta. Sebanyak $3 juta lagi masih diperlukan.

Antara program terkini yang diadakan pada 30 Oktober ialah sambutan maulidur rasul saw.

Acara yang dinamakan ‘Maulid4All’ itu dilaksanakan buat kali ketiga dan ia dianjurkan oleh masjid-masjid di Daerah Utara.

Bagi 2024, acara itu diadakan bagi menyokong usaha mengumpul dana untuk peningkatan Masjid Darul Makmur dan juga Masjid An-Nahdhah di Bishan.

“Alhamdulillah, pada Rabu lalu (30 Oktober) kami telah diberi kesempatan mencari dana dalam acara penuh kerohanian, ‘Maulid4All’.

“Kami amat terharu dengan sokongan dan kehadiran masyarakat dan jemaah pada acara sambutan maulidur rasul saw yang diisi dengan bacaan qasidah, ceramah agama dan juga ceramah dan nasihat oleh asatizah setempat dan juga luar negara,” ujar Encik Izuan.

Menurut pihak masjid, dengan adanya acara itu, ia amat memudahkan penduduk yang menetap di kawasan utara Singapura hadir dan menghulurkan sumbangan derma bagi projek peningkatan yang sedang berjalan.

Majlis tersebut berlangsung di Masjid An-Nahdhah, dan bermula dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh barisan asatizah yang antaranya terdiri daripada pegawai agama masjid yang terletak di kawasan utara.

“Alhamdulillah, Masjid Darul Makmur amat berterima kasih atas sokongan dan juga bantuan daripada masjid-masjid di daerah utara kerana telah membantu dalam usaha mencari dana untuk projek peningkatan Masjid Darul Makmur.

“Dengan adanya sesi begini, masyarakat di kawasan utara dapat dikenalkan dengan pegawai agama di bawah naungan Daerah Utara Singapura,” ujar Encik Izuan.

Menurut beliau, 16 masjid di daerah utara turut memberi keizinan bagi membolehkan tabung peningkatan Masjid Darul Makmur diletakkan di kawasan masjid tersebut.

Ini bagi memudahkan jemaah menyumbang derma, sekali gus mempertingkatkan usaha mengumpul dana semenjak projek peningkatan masjid bermula pada 2023.

Acara kemuncak pada majlis tersebut ialah syarahan agama yang disampaikan oleh pendakwah undangan asal Indonesia dan kini menetap di Malaysia, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Syarahan tersebut bertajuk, ‘Tanya Sama Hati, Adakah Saya Penghuni Syurga?’

Lebih 1,000 anggota jemaah yang hadir turut menerima buku istimewa sebagai cenderamata.

Buku bertajuk, ‘Memasjidkan Jiwa’ adalah hasil daripada ceramah yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin.

Buku itu ditulis dalam dua bahasa, dengan teks dalam bahasa Melayu dan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, sekali gus mempermudahkan bacaan bagi semua lapisan masyarakat Islam, amnya.

“Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan sumbangan ikhlas, derma dan juga wakaf oleh masyarakat setempat bagi menampung kos projek peningkatan yang masih memerlukan $3 juta.

“Kami mendoakan agar semua penderma diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki mereka sekeluarga,” tambah Encik Izuan.

Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: WakafMUP).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: WakafMUP).

3. Melalui cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir ke kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg