Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal lunas tuntutan $400,000 Majlis Pusat diarah tutup, aset dijual

Badan kebajikan sukarela yang telah bertapak di Singapura sejak 1969 tamat operasi kerana hutang
Jun 4, 2024 | 9:22 PM
Pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central ketika dikunjungi Berita Harian pada 4 Jun 2024. BH difahamkan kunci pejabat Majlis Pusat di Toa Payoh Central telah diserahkan kepada pihak Penyelesai.
Pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central ketika dikunjungi Berita Harian pada 4 Jun 2024. BH difahamkan kunci pejabat Majlis Pusat di Toa Payoh Central telah diserahkan kepada pihak Penyelesai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Majlis Pusat Singapura yang terpaksa ‘gulung tikar’ kerana gagal melunaskan tuntutan berjumlah hampir $400,000 kepada seorang pemilik syarikat yang menguruskan sebuah tajaka bersama badan mapan itu, didapati telah pun mengosongkan pejabatnya di Toa Payoh Central.

Majlis Pusat telah menerima arahan Mahkamah Tinggi berkuat kuasa 20 Mei lalu kerana gagal menjelaskan tuntutan yang dikemukakan Cik Siti Hasmah Adam, pemilik syarikat Three Aces.

Menurut Presiden Majlis Pusat, Encik Suri Abu, segala urusan sudah diserahkan kepada pihak Penyelesai dan akibat arahan Mahkamah Tinggi itu, Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pusat telah terbubar.

“Kami sudah tidak berfungsi. Ada usaha untuk membuat rayuan, tetapi ini memerlukan perbelanjaan yang tidak sedikit,” katanya semasa dihubungi Berita Harian (BH).

Setiausaha Agung Majlis Pusat, Cik Isiah Majid, mengesahkan badan itu telah menandatangani satu kerjasama bersama syarikat itu pada 2015, untuk mengendalikan sebuah tajaka di Tampines Street 45 hingga 2020.

Dalam perjanjian itu, Three Aces ditetapkan menerima sebahagian keuntungan yang diperolehi setiap bulan – sebesar 60 peratus – daripada operasi tajaka itu manakala Majlis Pusat pula menikmati 40 peratus.

“Majlis Pusat telah menguruskan dengan sendiri tajaka itu sejak Oktober 2020 memandangkan tempoh perjanjian itu hampir tamat. Ketika semakan akaun diadakan sewaktu tempoh peralihan itu, Siti Hasmah menuntut baki wang yang ada dalam akaun tajaka itu serta beberapa tuntutan lain melalui timbang tara,” kata Cik Isiah lagi ketika ditemui BH.

Menurut dokumen mahkamah, wang yang dituntut Cik Siti Hasmah meliputi bayaran berjumlah lebih $106,000 kepada Three Aces bagi beberapa bulan pada 2020; untung yang “diisytiharkan lebih rendah” diraih antara 2015 dengan 2019 berjumlah lebih $122,000; serta kos guaman yang ditanggung Three Aces bagi prosiding timbang tara dan lain-lain lagi.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang berpihak kepada Three Aces itu pada September 2023.

Kawasan luar pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central pada 4 Jun 2024.
Kawasan luar pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central pada 4 Jun 2024. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Peguam bela Cik Siti, Encik Daniel Soo daripada syarikat Selvam LLC, memberitahu akhbar ini, keputusan tersebut tidak menerima sebarang tentangan daripada pihak Majlis Pusat.

“Sejak tarikh berkenaan, Majlis Pusat tidak memberi sebarang bayaran atau tindak balas kepada anak guam saya,” tambahnya.

Majlis Pusat diwakili peguam, Encik Anil Murkoth Changaroth, daripada syarikat RHTLaw Asia.

Cik Siti Hasmah, ketika dihubungi berkata permohonan penggulungan itu dibuat pada Januari 2024 selepas beliau tidak menerima sebarang jawapan daripada Majlis Pusat.

Malah dalam kenyataannya kepada BH, beliau mengakui merupakan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Majlis Pusat dan keluarganya pada 2014, telah melaburkan wang simpanan mereka kepada Majlis Pusat bagi memastikan badan itu dan pusat tajaka itu kekal beroperasi.

Kedua-dua pihak kemudian berunding pada April 2024 dan bersetuju untuk melunaskan bayaran tersebut secara beransur.

Namun bayaran itu tidak diteruskan dan perintah penggulungan itu dilaksanakan pada 20 Mei ini tanpa sebarang tentangan daripada Majlis Pusat.

“Saya rasa kecewa dengan cara pihak jawatankuasa eksekutif (Majlis Pusat) mengendalikan isu ini. Sebenarnya saya nekad mencari penyelesaian yang dapat membolehkan pertubuhan penting seperti Majlis Pusat untuk terus beroperasi,” kata Cik Siti Hasmah yang juga merupakan seorang kakitangan tajaka itu dari 2013.

Barang pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central kelihatan disimpan dalam kotak yang bertingkat diikuti satu kertas notis yang menyatakan badan itu sedang dalam proses penggulungan.
Barang pejabat Majlis Pusat Singapura di Toa Payoh Central kelihatan disimpan dalam kotak yang bertingkat diikuti satu kertas notis yang menyatakan badan itu sedang dalam proses penggulungan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Malangnya saya tidak menerima sebarang tindak balas daripada mereka. Saya faham mereka adalah relawan, tetapi sebagai anggota jawatankuasa, mereka juga bertanggungjawab.”

Apabila BH berkunjung ke pejabat Majlis Pusat di Toa Payoh Central sekitar 5 petang 4 Jun, kelihatan barang-barang di pejabat telah dibungkus dalam beberapa kotak yang disimpan secara bertingkat.

Sekeping kertas ditempelkan di sebuah kipas angin menandakan “Majlis Pusat Singapura, sedang dalam penggulungan”.

Majlis Pusat yang asal penubuhannya pada 1969 dikenali sebagai Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura berperanan sebagai badan induk kepada puluhan badan seni, budaya dan persuratan Melayu dan galak menganjurkan pelbagai program kesenian dan sosiopolitik.

Ia bertukar sebagai badan persendirian pada 2012 dengan nama yang dikenalinya sekarang,

Menurut Cik Isiah, kunci pejabat Majlis Pusat telah diserahkan kepada pihak Penyelesai.

Ketika ditanya mengapa pihak Majlis Pusat tidak membuat tindakan secukupnya, Cik Isiah berkata semua anggota jawatankuasa merupakan relawan.

Biarpun demikian, beliau berkata operasi tajaka di Tampines itu, tetap “berjalan seperti biasa”.

Terdapat hampir 100 murid dan 25 guru di tajaka itu.

“Kami faham ia sukar untuk mendapatkan tempat baru bagi anak-anak mereka di tajaka, jadi kami berharap sementara ini peralihan dapat diselesaikan secara lancar,” kata Cik Isiah lagi.

Majlis Pusat meraikan ulang tahun ke-55 tahun ini selepas ia didaftarkan secara rasmi pada 12 April 1969.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg