Dalam meniti arus kemodenan, generasi muda kini lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Bahasa Melayu saya tidak bagus,” katanya.

Ungkapan itu mungkin biasa didengar, khususnya dalam kalangan mereka yang kurang yakin bertutur dalam bahasa Melayu kerana bimbang tersalah menggunakan perkataan atau silap tatabahasa.

Tidak dinafikan, rasa takut menggunakan bahasa Melayu boleh menjadi penghalang kepada penggunaannya.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, berkata beliau sendiri pernah berdepan dengan pelajar yang pada awalnya takut mengikuti kuliahnya kerana menyifatkan tahap bahasa Melayu mereka tidak mencukupi.

Namun, apabila diberi ruang, masa dan sokongan untuk menggunakan bahasa tersebut, keyakinan dan kemampuan mereka meningkat.

“Kadangkala pelajar itu akan berkata bahasa Melayu mereka tidak bagus, tetapi selepas tiga hingga empat minggu setelah diberikan mata kuliah itu, beliau sangat cemerlang.

“Yang pada awal rasanya kerdil tapi sekarang diberikan suasana dan dorongan, beliau dapat menggunakan (bahasa Melayu),” katanya.

Menurut Dr Azhar, keadaan itu antara lain mencerminkan kekerdilan apabila seseorang memandang rendah kemampuan sendiri dalam menggunakan bahasa Melayu.

Dalam podcast NoTapis ini, Dr Azhar Ibrahim Alwee, menekankan kepentingan masyarakat mewujudkan persekitaran yang lebih menerima dan menggalakkan bagi seseorang cuba menggunakan bahasa Melayu, meskipun penggunaannya belum sempurna.
Dalam podcast NoTapis ini, Dr Azhar Ibrahim Alwee, menekankan kepentingan masyarakat mewujudkan persekitaran yang lebih menerima dan menggalakkan bagi seseorang cuba menggunakan bahasa Melayu, meskipun penggunaannya belum sempurna. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau berkata demikian dalam podcast NoTapis Berita Harian (BH) sempena sambutan Bulan Bahasa, yang dikendalikan Penerbit Podcast, Cik Natasha Mustafa, bersama wartawan BH, Encik Amirul Hakim Ibrahim, bagi episod tersebut.

Dr Azhar turut menekankan kepentingan masyarakat mewujudkan persekitaran yang lebih menerima dan menggalakkan bagi seseorang cuba menggunakan bahasa Melayu, meskipun penggunaannya belum sempurna.

Daripada cepat menilai kesilapan, Dr Azhar berkata mungkin yang lebih penting adalah memastikan seseorang tidak hilang keyakinan untuk terus bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) berkata dalam penggunaan bahasa, terdapat kelompok yang lebih tegas dalam memastikan tatabahasa dan istilah terus terpelihara.

Meskipun begitu, Dr Azhar berpendapat penggunaan bahasa perlu disesuaikan mengikut konteks, dengan bahasa yang lebih teratur dan cermat digunakan apabila keadaan memerlukannya.

“Kita harus ikut tempat dan kesesuaian. Contohnya kalau saya ingin beli mi rebus di Pasar Geylang Serai, tidak mungkin saya berkata, ‘Mak cik, bolehkah anda memberikan saya sepinggan mi rebus’?” katanya.

“Jadi ada tempat yang kita gunakan (bahasa kita) secara teratur, tersusun dan cermat; ada tempat kita (gunakan bahasa) lebih cair, lebih lunak untuk orang memahami,” tambahnya yang sering menyumbang wacananya dalam ruangan bahasa di BH.

Pada masa sama, Dr Azhar mengajak masyarakat melihat penguasaan bahasa Melayu sebagai sesuatu yang lebih luas daripada sekadar kemampuan bertutur dengan ‘betul’.

Penguasaan bahasa Melayu boleh menjadi satu bentuk “modal budaya” (cultural capital) yang membolehkan seseorang meneroka ilmu, karya dan masyarakat lebih luas di rantau ini.

Seseorang yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris juga boleh menjadi ‘cultural broker’ atau perantara yang membawa ilmu dan idea daripada satu bahasa kepada khalayak bahasa lain.

“Kekuatan bahasa Inggeris anda itu setelah anda membaca dengan baik, anda pindahkan yang dari Inggeris ke Melayu.

“Bukankah itu kerja ‘cultural broking’?” katanya, sambil memberi contoh pekerjaan dalam bidang seperti kewartawanan atau pendidikan sebagai perantaraan menyampaikan ilmu.

Justeru, usaha memastikan bahasa Melayu terus digunakan tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah atau usaha seperti Bulan Bahasa semata-mata.

Menurut Dr Azhar, keluarga, sahabat, persatuan dan media massa turut mempunyai peranan untuk saling menyokong penggunaan bahasa tersebut agar ia tidak terbatas kepada fungsi tertentu sahaja.

Bulan Bahasa, katanya, sekadar mengingatkan masyarakat bahawa bahasa Melayu perlu menjadi sebahagian daripada bahasa yang hidup.

“Guru di sekolah sudah berusaha dengan sangat baik, dan (kita) perlu ingat bahasa Melayu pun diajar sebagai bahasa kedua dan mereka hanya ada masa yang tertentu.

“Mereka tidak dapat mengajar sepanjang hari.

“Usaha itu perlu ada di tangan saya, media massa, keluarga, sahabat, persatuan untuk saling mendukung bahasa ini bukan menjadi bahasa sekadar memesan makanan,” ujarnya.

KURANG FASIH, BERUPAYA CEMERLANG

“

“Kadangkala pelajar itu akan berkata bahasa Melayu mereka tidak bagus, tetapi selepas tiga hingga empat minggu setelah diberikan mata kuliah itu, beliau sangat cemerlang. Yang pada awal rasanya kerdil tapi sekarang diberikan suasana dan dorongan, beliau dapat menggunakan (bahasa Melayu).”
GUNA IKUT KESESUAIAN

“

“Kita harus ikut tempat dan kesesuaian. Contohnya, kalau saya ingin beli mi rebus di Pasar Geylang Serai, tidak mungkin saya berkata, ‘Mak cik, bolehkah anda memberikan saya sepinggan mi rebus?’. Jadi ada tempat yang kita gunakan (bahasa kita) secara teratur, tersusun dan cermat; ada tempat kita (gunakan bahasa) lebih cair, lebih lunak untuk orang memahami.”
Dr Azhar Ibrahim Alwee, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).