Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Galak warga emas dapatkan vaksin bagi mengelak jangkitan dan komplikasi

Nov 27, 2020 | 5:30 AM
LANGKAH PENCEGAHAN: Golongan yang mudah dijangkiti digalakkan mendapat vaksinasi bagi demam selesema dan penyakit pneumokokal.- Foto HPB
LANGKAH PENCEGAHAN: Golongan yang mudah dijangkiti digalakkan mendapat vaksinasi bagi demam selesema dan penyakit pneumokokal.- Foto HPB -

DENGAN daya ketahanan tubuh lebih lemah, golongan warga emas digalak untuk mendapatkan vaksin bagi mencegah diri mereka dari dijangkiti.

Malah, vaksin juga penting bagi mengurangkan risiko menghidapi komplikasi penyakit berjangkit.

Hakikatnya, vaksin bak senjata penting untuk melawan kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit.

Bagi golongan emas, vaksin turut bertindak sebagai perisai yang memperkukuh daya ketahanan tubuh mereka terhadap penyakit.

WARGA EMAS BERISIKO TINGGI

Berkongsi demikian dengan Berita Harian (BH), Dr Elly Sabrina Ismail berkata bahawa vaksin adalah senjata penting bagi mengawal penularan jangkitan kerana mereka mempunyai risiko lebih tinggi mendapat jangkitan.

"Bagi golongan ini, semakin mereka lanjut usia, daya ketahanan tubuh mereka berkurangan.

"Dengan mendapatkan vaksin, ia mengajar sistem imunisasi mereka untuk bersedia melawan penyakit sekiranya mereka terdedah kepada jangkitan itu.

"Ini adalah satu pencegahan awal yang kita dapat lakukan untuk terus mengawal dan menjaga kesihatan mereka pada masa akan datang," kata doktor keluarga itu yang juga pemilik Banyan Clinic di Woodlands.

Menurut Dr Elly, banyak penyakit berjangkit kini dapat dicegah dengan mendapatkan suntikan.

Dengan musim demam selesema menjelang di Singapura, beliau menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit demam selesema.

Bagi orang yang berusia 65 tahun dan ke atas atau yang menghidap penyakit kronik, Dr Elly mencadangkan vaksin bagi demam selesema dan penyakit pneumokokal (jangkitan yang disebabkan bakteria).

KOMPLIKASI DARI JANGKITAN

Demam selesema adalah penyakit berjangkit yang menyerang saluran pernafasan dan boleh menyebabkan peparu radang, sementara penyakit pneumokokal pula menyerang bahagian tubuh badan dan menyebabkan jangkitan serius pada pelbagai organ.

"Virus dan bakteria adalah sesuatu yang kita tidak dapat melihat dengan mata sendiri. Oleh itu, kita tidak dapat menjangkakan sekiranya kita akan dijangkiti atau tidak.

"Sekiranya dijangkiti sebelum mendapatkan suntikan vaksin, individu itu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk jatuh sakit dan ia boleh mengakibatkan komplikasi, kecacatan dan juga kematian. Oleh itu, kita tidak boleh memandang ringan mengenai perkara sebegini," ujar Dr Elly.

SUBSIDI YANG DISEDIAKAN

Tambahnya, kos untuk mendapatkan vaksin di Singapura adalah berpatutan, terutama selepas mengambil kira subsidi yang ditawarkan pemerintah bagi mereka yang layak mendapatkan subsidi.

Dengan peningkatan dalam subsidi bagi vaksin influenza mulai bulan November, beliau menjangkakan lebih ramai yang akan mendapatkan suntikan itu.

"Wang tidak menjadi isu utama kerana terdapat subsidi bagi vaksin-vaksin yang disyorkan. Jadi saya menasihati orang ramai untuk mendapatkan suntikan yang diperlukan.

"Mungkin sekarang anda perlu membayar untuk sejenis suntikan tetapi ia dapat melindungi anda mungkin sepanjang tahun atau sepanjang hayat," jelas beliau sambil menambah bahawa ini merupakan pelaburan bagi kesihatan masing-masing.

Untuk vaksin yang diberikan di klinik pengamal am Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (GP CHAS), warga Singapura dewasa yang layak, hanya perlu membayar jumlah yang tertentu setelah mengambil kira subsidi pemerintah.

Subsidi bagi vaksin bagi mereka yang layak juga ditawarkan di poliklinik.

Menurut Jadual Imunisasi Dewasa Nasional, suntikan vaksin influenza disarankan setiap tahun atau setiap musim, terutama bagi golongan yang mudah dijangkiti, seperti individu yang mengalami penyakit kronik, anak-anak kecil, orang tua dan wanita hamil.

Oleh itu, Dr Elly menyatakan, doktor turut menjadi proaktif dalam mengesyorkan vaksinasi tertentu, terutama bagi pesakit dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Dengan mendapatkan suntikan vaksin, kita bukan hanya melindungi diri sendiri, tetapi keluarga dan rakan-rakan sekeliling kita," ujarnya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai vaksinasi, lungsuri laman https://go.gov.sg/immunisationbh-print.

Imbas kod QR untuk mengetahui lebih lanjut "Bagi golongan ini, semakin mereka lanjut usia, daya ketahanan tubuh mereka berkurangan. Dengan mendapatkan vaksin, ia mengajar sistem imunisasi mereka untuk bersedia melawan penyakit sekiranya mereka terdedah kepada jangkitan itu. Ini adalah satu pencegahan awal yang kita dapat lakukan untuk terus mengawal dan menjaga kesihatan mereka pada masa akan datang."

- Dr Elly Sabrina Ismail (gambar) Dibawakan oleh

Lembaga Penggalakan Kesihatan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg