Warisan masyarakat Orang Laut yang berkait rapat dengan kehidupan di laut bakal diketengahkan menerusi seni pemasangan jongkong di Galeri Sejarah Singapura yang bertempat di Muzium Negara Singapura sekitar 93 Stamford Road.

Galeri itu bakal dibuka semula secara rasmi pada 10 Oktober, selepas melalui rombakan besar buat julung-julung kalinya sejak 2006.

Pernah digunakan masyarakat Orang Laut sebagai pengangkutan untuk merentas perairan, jongkong yang dipamerkan itu menjadi antara tumpuan dalam usaha mengangkat kisah kehidupan dan warisan maritim masyarakat tersebut.

Seni pemasangan jongkong itu dibuat oleh pembuat jong berpengalaman asal Tanjung Pinang, Indonesia, Encik Nasrun Syawal, 66 tahun.

Beliau diperkenalkan oleh pengasas gerakan warisan Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, 37 tahun, kepada pihak muzium, yang kemudian menugaskannya menghasilkan jongkong bagi segmen pertama galeri itu iaitu, Fluid Beginnings (1300-an hingga 1800-an).

Segmen itu menelusuri sejarah awal Singapura sebagai pusat maritim dan perdagangan dalam dunia Melayu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti