GAMBAR yang sedang disebar luas dalam talian dengan dakwaan seorang pegawainya terlibat dalam kes daging beku tidak halal yang dijual sebagai daging halal di Malaysia adalah palsu, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Gambar itu menunjukkan tiga individu, termasuk seorang pegawai Muis yang sedang duduk semeja, diiringi kapsyen yang berkata kumpulan itu bertanggungjawab bagi kemasukan daging haram ke Malaysia dan Singapura.
"Muis ingin menjelaskan gambar yang disebar itu tiada hubungan dengan kes tersebut," kata Muis.
Menurut Muis, gambar tersebut diambil pada hari terakhir persidangan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di Kuala Lumpur pada 2019.
"Pegawai Muis dalam gambar itu telah diundang oleh penganjur untuk menyertai sesi makan durian pada malam tersebut. Sesi itu juga dihadiri peserta lain di persidangan itu," kata Muis yang menambah pegawai tersebut menerima undangan itu sebagai tanda hormat kepada penganjur.
Muis juga berkata ia tiada hubungan dengan individu ketiga yang dinamakan dalam pos itu.
Individu tersebut didakwa menguruskan urusan eksport daging tidak halal dari Australia ke Malaysia.
"Muis menggesa pihak awam supaya tidak menyebar luas dakwaan palsu dan yang kurang tepat kerana ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat," kata Muis menerusi Facebook.
Kelmarin, Muis telah menyatakan bahawa ia dan Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang menyiasat dakwaan berhubung kes tersebut, termasuk dakwaan daging beku tidak halal dieksport dari Malaysia ke Singapura.
Ia telah memohon maklumat lanjut dari pihak berkuasa di Malaysia, kata Muis dan SFA dalam kenyataan bersama itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg